Monday, July 23, 2018

PM kata Najib rosakkan k'jaan, ambil masa bina semula

Koh Jun Lin | Diterbitkan 22 Jul 2018, 11:30 malam


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Najib Razak 'merosakkan' jentera kerajaan dengan menyalahgunakannya bagi memperkukuh rejim pemerintahannya.

Beliau berkata ramai pegawai kerajaan yang terlibat akan dibuang dan ini akan mengambil masa untuk memulihkan kerajaan.

"Kerosakan yang dibuat (Najib Razak) kepada negara ini lebih teruk daripada apa yang kami jangka.

"Bukan saja wang yang dihilangkan berbillion-billion ringgit, tetapi jentera kerajaan sudah disabotaj, sudah ditukar supaya tidak lagi berjalan dengan baik dan terpaksalah kita ambil tindakan untuk membuang beberapa pegawai yang terlibat dalam mempertahankan kerajaan terdahulu," katanya.

Dr Mahathir berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin di majlis makan malam amal Tabung Harapan, anjuran 18 Gabungan Persatuan Cina Klang di Shah Alam, malam tadi.

Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya umum pada 9 Mei.

Sejak itu, ramai pegawai utama kerajaan telah diganti, termasuk bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali, bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dzulkifli Ahmad, Gubernur Bank Negara Muhammad Ibrahim, dan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif.

Kebanyakan pegawai ini telah meletak jawatan, sementara yang lain seperti Apandi telah dipecat.

Dalam ucapan beliau malam tadi, Mahathir juga mengulang pendirian Pakatan Harapan menegakkan lunas kedaulatan undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa undang-undang yang tidak adil dan tidak melindungi kepentingan orang ramai dan perniagaan seperti Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Menurut perdana menteri, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 akan dimansuhkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-