Monday, July 9, 2018

PM, TPM tak terkecuali tindakan undang-undang, kata Dr M

Adam Abu Bakar | July 9, 2018
Perdana menteri berkata syor sudah dibuat agar beberapa undang-undang dipinda bagi memastikan ahli politik termasuk PM dan TPM dianggap sebagai anggota pentadbiran.
Dr Mahathir berkata setiap pemimpin dalam pentadbirannya perlu mengisytiharkan harta dan menjelaskan siapakah penyumbang dana bagi mengelakkan rasuah.

PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ahli parlimen akan dianggap sebagai penjawat awam dan tindakan boleh diambil jika terdapat salah laku.

“Jawatankuasa sudah buat syor supaya beberapa undang-undang dipinda bagi memastikan ahli politik termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri dianggap sebagai anggota pentadbiran.

“Ada keputusan sebelum ini yang dibuat bahawa perdana menteri bukan sebahagian dari pihak pengurusan, jadi kita putuskan perdana menteri adalah sebahagian daripada pengurusan,” kata perdana menteri dalam sidang media, hari ini.

Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Dr Mahathir dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam kes samannya yang mendakwa bekas perdana menteri, melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1MDB.

Ketika itu, panel 3 hakim diketuai Tun Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara bersetuju dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Datuk Seri Najib Razak bukan penjawat awam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata setiap pemimpin dalam pentadbirannya dan pemimpin parti politik perlu mengisytiharkan harta dan menjelaskan siapakah penyumbang dana bagi mengelakkan rasuah.

“Dana politik adalah suatu keperluan, dari mana wang itu datang, namun sudah tentu ahli dan penyokong berikan duit, ia sangat susah untuk tentukan sama ada hadiah itu rasuah atau tidak.

“Dalam cara itu, kita lihat di negara luar seperti Jerman, di mana kerajaan berikan dana kepada parti-parti politik dan kita juga cari beberapa cara lain,” katanya.

Beliau berkata setiap pemimpin perlu menolak sebarang sumbangan yang diberikan namun hanya dibenarkan mengambil hadiah dalam bentuk makanan, bunga atau plat.

“Jika ada pemberian yang tidak boleh diterima, kita beri kelonggaran jika mereka terima dalam bentuk makanan, bunga atau plat. Kadang-kadang ada yang diperbuat dari piuter, ia dibenarkan tetapi perlu diisytiharkan.

“Jika diberikan sebuah kereta Mercedez, mahupun Proton perlu untuk ditolak kerana pegawai-pegawai terdedah kepada korupsi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-