Monday, July 23, 2018

Polemik UEC dan teras bangsa

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH
23 JULAI 2018

Dr Iskandar Hasan

UEC adalah Sijil Peperiksaan Bersepadu yang dikeluarkan oleh aliran pendidikan sekolah swasta Cina di Malaysia. Polemik UEC bermula dengan tuntutan daripada Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (UCSCA) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Bersatu (UCSTA) pada Oktober 1995.

Dalam buku The Struggle for Survival in Chinese School in Peninsular Malaysia tulisan Lee Ting Hui menghuraikan kronologi polemik UEC. Polemik ini bermula susulan daripada persetujuan kedua-dua persatuan ini untuk menuntut kerajaan meninggalkan objektif utama menjadikan bahasa Malaysia sebagai medium pengantar dalam subjek pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Dalam tuntutan tersebut menyatakan bahawa pengiktirafan UEC yang dikendalikan oleh sekolah persendirian Cina untuk kemasukan pelajar ke universiti awam.

Ekoran tuntutan tersebut, kerajaan pada dasarnya hanya bersetuju untuk mengekalkan SJKC dan SJKT mengikut Akta Pendidikan 1961. Begitu juga dengan silibus pendidikan aliran SJKC dan SJKT telah mewajibkan bahasa Malaysia sebagai pengantar dan bukannya bahasa ibunda aliran tersebut.

Kerajaan turut bersetuju supaya bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan subjek wajib dalam masa pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah aliran SJKC dan SJKT. Malahan lesen persekolahan pendidikan swasta Cina perlu mematuhi Akta Pendidikan 1961 untuk meneruskan pemberian lesen daripada Kementerian Pendidikan.

Tetapi masih terdapat polemik yang berlaku. Dalam seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1961 telah mewajibkan bahasa Malaysia sebagai pengantar dan wajib lulus untuk melayakkan seseorang pelajar diterima masuk ke dalam universiti awam. Bahasa Malaysia juga dijadikan bahasa utama dalam semua subjek pengajaran dan pembelajaran kurikulum semua jenis aliran sekolah.

Ini menyebabkan rasa tidak puas hati oleh UCSCA dan UCSTA. Kemelut ini ditambah pula dengan seksyen 26(A) yang memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk membubarkan mana-mana Lembaga Sekolah terutama sekolah persendirian yang tidak mematuhi syarat wajib pengajaran bahasa Malaysia sebagai pengantar.

Polemik ini bertambah panas apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PPSMI pada tahun 2002. Pertikaian ini timbul apabila kerajaan meluluskan bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Persoalan utama adalah jika bahasa Inggeris boleh dibenarkan. Maka bahasa ibunda turut boleh dibenarkan. Sedangkan dalam Akta Pendidikan 1996 telah menggariskan bahawa semua sekolah dari peringkat rendah sehinggalah peringkat pengajian tinggi perlu menjadikan bahasa Malaysia sebagai pengantar utama dalam semua subjek kurikulum. Ini bersesuaian untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmiah.

Tetapi apa yang berlaku adalah terdapat dalam subjek tertentu di peringkat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Malaysia. Contohnya dalam bidang pengajian undang-undang. Ini menjadikan UCSTA dan UCSCA mempunyai alasan kukuh untuk mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

Perjuangan UEC ini turut disokong oleh Dong Jiao Zong. Akhirnya menyebabkan satu Gerakan Pendidikan Cina yang dinamakan Gerakan Hua Tuan Suqiu. Gerakan ini mencadangkan satu dokumen yang dinamakan Mu Yu Jiao Yu Xuan Yan. Manifesto dokumen ini menuntut supaya bahasa ibunda bagi aliran SJKC dan SJKT dikembalikan sebagai pengantar dalam semua subjek kurikulum termasuklah sekolah persendirian. Tetapi tuntutan ini ditolak walaupun pada masa itu berlangsung PRU tahun 1999.

Gerakan Pendidikan Cina tidak berhenti setakat itu. Tetapi digiatkan dengan Gerakan Reformasi Pembaharuan Pendidikan Sekolah Swasta Cina. Matlamat gerakan tersebut adalah untuk memperbaiki tahap kualiti dan kemudahan sekolah persendirian Cina.

Usaha mendapatkan pendanaan daripada komuniti Cina turut dipergiatkan. Tetapi usaha ini kurang berjaya. Walaupun begitu, kerajaan turut memberikan dana kepada sekolah persendirian termasuklah menambah bilangan sekolah aliran SJKC dan SJKT.

Walaupun kerajaan menolak permohonan tersebut, kerajaan sebenarnya telah meluluskan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman sebagai satu alternatif kepada pelajar-pelajar UEC untuk melanjutkan pengajian tinggi. Kerajaan juga melonggarkan syarat untuk menyambung pendidikan tinggi di beberapa universiti di Taiwan dan China.

Tuntutan Gerakan Pendidikan Cina akhirnya diterjemah ke dalam politik terutama pada PRU 2008. Pada 28 Februari 2008, terdapat sejumlah tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan. Antaranya pengiktirafan UEC, menaik taraf Kolej New Era dan Kolej Southern sebagai kolej universiti.

Tetapi dalam Dasar Pembangunan Pendidikan 2006 hingga 2010 tidak memenuhi tuntutan tersebut. Lanjutan itu, Dasar Pembangunan Pendidikan 2010 hingga 2015 juga tidak menggariskan tuntutan tersebut.

Kini tuntutan tersebut telah beralih kepada kerajaan negeri. Situasi ini boleh difahami apabila Sarawak mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam. Seterusnya berlaku di Melaka.

Persoalan yang timbul dalam polemik UEC adalah pembentukan teras negara bangsa. Teras negara bangsa Malaysia adalah berdasarkan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terikat dengan Akta Pendidikan 1996. Malangnya sudah enam dekad lebih negara kita merdeka tetapi masing-masing masih tidur bantal berasingan dan mimpi berasingan.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-