Thursday, July 12, 2018

PRK Sg Kandis: Umno bincang dengan PAS letak 1 calon pembangkang

Bernama | July 12, 2018

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu merupakan strategi pembangkang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu pada PRK itu dan memberikan saingan sengit.
Zahid Hamidi yakin masih ramai individu dan ahli parti akan menyumbang untuk membantu gerak kerja parti semasa berkempen untuk PRK DUN Sungai Kandis, susulan pembekuan akaun Umno Pusat dan Selangor. (Gambar Bernama)

BAGAN DATUK: Umno bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) akan berbincang bersama PAS untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Selangor nanti.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu merupakan strategi pihak pembangkang dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu pada PRK itu dan memberikan saingan sengit.

“Kami perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain yang menjadi pembangkang, khususnya PAS untuk menentukan seorang calon sahaja akan bertanding.

“Kami akan ambil perkiraan keboleh menangan kepada parti dan juga keboleh sokongan kepada calon yang akan (diletakkan) bertanding di DUN Sungai Kandis, ertinya daripada pihak pembangkang, termasuk Umno dan parti-parti komponen BN, kami bersetuju hanya seorang calon sahaja.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran meraikan 93 bakal haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini, petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Zahid turut menjelaskan perbincangan mengunakan logo Umno pada PRK itu turut dibincangkan dalam masa terdekat, selepas dicadangkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

“Kami belum meneliti secara rasmi (cadangan) itu, biarpun ia merupakan cadangan yang diperbincangkan dalam jawatankuasa pengurusan dan saya akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik untuk kami melihat perincian terhadap keberuntungan jika menggunakan logo di luar BN.”

Mengenai dana berkempen pada PRK nanti, susulan pembekuan akaun Umno Pusat dan Selangor, Zahid yakin masih ramai individu dan ahli parti akan menyumbang untuk membantu gerak kerja parti semasa berkempen.

“Kami tidak akan berbelanja seperti PRK terdahulu, tapi pegangan kami ialah ‘kos rendah impak yang tinggi’, itu pendekatan kami ambil nanti.”

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada Umno, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Umno Selangor serah 4 nama

Sementara itu, Umno Selangor 4 nama yang berpotensi dipertaruhkan pada PRK DUN Sungai Kandis kepada presidennya.

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, 4 nama itu terdiri daripada pemimpin tempatan lelaki dan wanita.

“Yang kami hantar senarai nama pimpinan Umno, namun ini bukan muktamad. Saya semalam berbincang dengan presiden parti mengenai senarai nama calon cadangan kami.

“Namun, kalau pucuk pimpinan mungkin melihat kenapa tidak cuba calon bukan daripada pimpinan Umno kami kena terima, kami serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan muktamad berkenaan calon,” katanya selepas penyerahan sumbangan kepada 125 bakal haji di Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Noh berkata, Umno Selangor juga akan memberi sokongan penuh sekiranya pucuk pimpinan parti memutuskan untuk menurunkan calon luar dalam PRK itu nanti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-