Saturday, July 7, 2018

Putrajaya kaji cadangan mansuh permit import atasi monopoli

Bernama | July 7, 2018

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, ruang dan masa diperlukan untuk mengkaji perkara itu, selain mengambil maklum balas pemain industri bagi membolehkan harga barang diturunkan.
Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang menyenaraikan barangan dan perniagaan di bawah AP yang bersifat monopoli bagi memastikan tiada kenaikan harga akibat monopoli AP.

KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang meneliti cadangan sesetengah pihak agar Permit Import (AP) dimansuhkan bagi membolehkan harga barangan diturunkan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memerlukan ruang dan masa bagi mengkaji perkara itu, selain mengambil maklum balas daripada pemain industri.

“Sama ada amalan memansuhkan AP boleh menurunkan harga satu-satu item barangan, itu saya perlukan sedikit masa lagi untuk teliti. Jika ada ruang amalan itu boleh bawa kita turunkan harga, kita akan bergerak ke arah itu,” kata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada majlis penyerahan memorandum bantahan aktiviti pembalakan di Kampung Sungai Tengas, hari ini.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sebelum ini menyuarakan hasrat pemansuhan AP dilaksanakan kerana diyakini harga barang boleh turun memandangkan ketika ini ada unsur monopoli segelintir pihak yang mendapat hak terbabit.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sedang menyenaraikan barangan dan perniagaan di bawah AP yang bersifat monopoli.

Katanya, ia adalah sebahagian perancangan bagi memastikan tiada kenaikan harga akibat monopoli AP, khususnya membabitkan barangan keperluan asas.

“Di KPDNKK sendiri, banyak jenis AP termasuk AP bagi beras, gula, sayuran dan pelbagai lagi dan jika wujud unsur monopoli dan merugikan pengguna, kami tidak teragak-agak melantik pembida baru.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-