Saturday, July 7, 2018

Rais tegur DAP: Sabarlah dulu...

WAWANCARA

Anne Muhammad
Diterbitkan 7 Jul 2018, 9:00 pagi


WAWANCARA | Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim menasihati DAP supaya bersabar berkaitan pemilihan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet baru.

Katanya, DAP seharusnya menginsafi diri dengan melihat kembali perjuangan asal sebelum memenangi pilihan raya umum ke-14 pada (PRU14) 9 Mei lalu.

“Sebagai salah seorang yang lama, saya boleh kata DAP sabarlah dahulu, berunding baik-baik dengan Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan lancarkan (kotakan janji) dalam manifesto HARAPAN,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, 5 Julai lalu.

Rais berkata demikian mengulas rasa tidak puas hati di kalangan penyokong dan akar umbi DAP kerana Nga Kor Ming dan Chong Chieng Jen tidak dilantik menganggotai barisan kabinet Pakatan Harapan.

Pada kempen PRU lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan kedua-dua pemimpin berkenaan akan dilantik sebagai menteri kabinet sekiranya mereka dipilih ke Dewan Rakyat dan apabila HARAPAN membentuk kerajaan.

Isnin lalu, Dr Mahathir akhirnya melantik Chong sebagai timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna. Namun, tiada sebarang jawatan diberikan kepada Nga.

Untuk rekod, kabinet awal yang diumumkan oleh Dr Mahathir 12 Mei lalu melantik beberapa wakil rakyat DAP sebagai menteri dan timbalan menteri.

Antaranya Lim sebagai menteri kewangan, Gobind Singh Deo menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia dan ahli parlimen pertama kali, Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Tunaikan manifesto

Kini jumlah keseluruhan jawatan menteri dalam kabinet HARAPAN seramai 26 orang manakala 23 pula bagi jawatan timbalan menteri.

Daripada jumlah tersebut, anggota parlimen DAP mengisi sebanyak 12 jawatan melibatkan enam menteri dan enam timbalan menteri.

Pada PRU ke-14, PKR memenangi 47 kerusi dan DAP pula 42 kerusi parlimen. Sementara BERSATU mendapat 13 dan AMANAH menang 11 kerusi.

Mengulas lanjut, Rais mengingatkan bahawa DAP yang sebelum ini tidak pernah menjawat apa-apa jawatan dalam kerajaan seharusnya menerima keputusan Dr Mahathir.

“Masa dulu tak tidak terasa masa sekarang sudah merasa, sekarang dah dalam kuasa, mesti diterima suasana kuasa sebagai perubahan besar ketika mereka tidak ada apa-apa dulu, sekarang sudah memegang sesuatu jawatan.

“Lim Guan Eng, beliau memegang teraju kewangan negara, menteri pengangkutan, pemerintahan dalam PBT, DAP tak pernah merasa ini dahulu, jadi sekarang sudah ada.

"Adakah mereka nak tanya (persoal) genapnya bilangan menteri, atau melahirkan (tunaikan) manifesto terdahulu,” katanya.

Rais turut berkata, sekiranya DAP terus mendesak berkaitan jawatan, parti tersebut akan kehilangan matlamat asal sebelum memenangi PRU.

“Jadi bila nak jadi juara semua, saya kira DAP sudah kehilangan sasaran kerana mereka pernah berkata dengan Tun Dr Mahathir dan lain-lain, marilah kita bawa perubahan dan perubahan itu yang perlu diwujudkan dulu.

“Walaupun DAP kata kami tak cukup menteri dan timbalan menteri tapi saya kata, rakyat kata, siapa pun jadi menteri tidak menjadi fasal (masalah),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-