Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, July 7, 2018

Mujahid salahkan media sosial putar belit kenyataannya

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my

Keratan paparan wawancara Mujahid bersama sebuah portal sebelum tajuk berita diubah yang menimbulkan kontroversi.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan bahawa beliau mengiktiraf Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berikutan kenyataannya mengenai golongan itu baru-baru ini.

Beliau sebaliknya menyalahkan media sosial yang memutar belit kenyataannya sehingga menimbulkan pelbagai persoalan serta kecaman banyak pihak.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Kenyataan saya tentang LGBT kononnya saya mengiktiraf golongan ini telah di ‘spin’ dalam media sosial.

“Ingin saya jelaskan perbuatan sumbang mereka yang bercanggah dengan agama, nilai moral kemanusiaan dan fitrah, kita tidak dapat terima dan tak mungkin negara juga menerima perkara berkenaan.

“Tetapi, sebagai rakyat Malaysia, dari sudut hak mereka tidak disakiti, hak mereka untuk mendapatkan keadilan, sudah tentu kami akan jaga dan jamin seperti dalam Artikel 8 (Perlembagaan Persekutuan), iaitu setiap warganegara wajib dapat keadilan dan tidak boleh disakiti dan didiskriminasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong, di Parit Buntar hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebelum ini dilaporkan berkata, kenyataan Mujahid yang dilaporkan dalam media mengenai LGBT bersalahan dari sudut pandangan Islam dan peruntukan undang-undang negara.

Mohd Khairuddin berkata, pandangan Mujahid yang mengiktiraf LGBT sebagai hak individu adalah salah kerana LGBT membabitkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.

Ahli Parlimen Parit Buntar menjelaskan, apa yang dimaksudkannya ialah aspek berkaitan Artikel 8 dalam Perlembagaan, namun terkilan disalah anggap dan kemungkinan ia sengaja diolah pihak tertentu bagi menggambarkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu bersikap liberal dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau berkata, akan mengadakan pertemuan dengan golongan ulama, cendekiawan serta pentadbir Islam bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan maklum balas mengenai pentadbiran Islam.

“Pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas pandangan mereka mengenai institusi pentadbiran Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tular dalam media sosial kononnya kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji kerana kerajaan Malaysia mahu menarik balik tentera yang menyertai pakatan diketuai negara itu dalam peperangan di Yaman.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kerana perkara itu tidak betul. Hubungan baik kita dengan Arab Saudi amat baik kerana mereka sentiasa menjadikan Malaysia keutamaan berbanding dengan negara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 8:14 PM