Monday, July 16, 2018

Speaker baru ikrar laksana tugas dengan bebas


PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat yang baru dilantik, Datuk Mohamad Ariff Yusof berikrar akan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

"Saya akan berusaha melaksanakan tugas saya dengan sepenuh hati dan bebas daripada pengaruh luar untuk memelihara, memartabat maruah dewan yang mulia ini.

"Saya juga akan bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan yang berhormat sekalian berusaha ke arah meningkatkan lagi wibawa institusi parlimen negara kita, supaya budaya demokrasi berparlimen negara kita bertambah berkesan, adil dan saksama," katanya dalam kenyataan.

Hakim bersara itu berkata persidangan Dewan Rakyat kali ini menempa sejarah kerana kali pertama sejak peralihan kuasa berlaku dengan penuh aman.

"Ini bukti keampuhan sistem demokrasi berparlimen kita untuk menangani perbezaan dan perselisihan yang sudah pasti wujud dalam mana-mana negara, lebih-lebih lagi dalam negara kita yang bernilang kaum dan pegangan ini.

"Kini perhatian dunia tertumpu kepada Dewan Rakyat ini sebagai ruang untuk mengurus kepelbagaian yang wujud di dalam negara kita dengan cara yang tertib dan mengekalkan keamanan," katanya.

Mohamad Ariff Yusof, 69 dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan hari ini dan merupakan calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengusulkan pencalonan Mohamad Ariff sejurus persidangan Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi ini. Cadangan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun pelantikan Mohamad Ariff menerima bantahan daripada pembangkang yang bertindak keluar dewan beberapa minit selepas anggota parlimen duduk di kerusi masing-masing.

Mereka berpendapat pelantikan itu tidak mengikut peraturan dewan mesyuarat yang seharusnya mengikut peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-