Friday, July 20, 2018

Sudah tunai dua janji

Mohd Anwar Patho Rohman
am@hmetro.com.my

DR Mahathir menjawab soalan ketika Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen.
Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dalam tempoh 70 hari Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, dua daripada 10 janji PH mula dilaksanakan, enam janji sedang ditunaikan dan dua janji belum dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan janji berkenaan dilaksanakan secara teratur dan mengikut undang-undang, kajian dan perancangan teliti harus dilakukan yang sekali gus mengambil masa untuk ditunaikan.

“Bagaimanapun, semua janji itu sudah dikaji mekanisme pelaksanaannya dan dalam penelitian jabatan serta agensi terbabit.

“Umpamanya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50 kepada suri rumah sedang dikaji Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Pada masa sama janji yang boleh dilaksanakan secara terus tanpa membabitkan kos seperti menghapuskan senarai hitam keluar negara untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) memang sudah dilaksanakan,” katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-DAP Bukit Bintang) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Semalam adalah hari pertama bagi Dr Mahathir menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas kali kedua menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut berkata, kerajaan termasuk menteri dan Kabinet akan memantau setiap janji yang sedang dan akan direalisasikan kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-UMNO Rembau) berapakah lagi manifesto yang akan jatuh dalam kategori ‘panduan’ dan bukan janji, Perdana Menteri berkata, PH tidak menganggap manifesto sebagai satu janji yang mengikat mereka.

“Saya tidak sedar Yang Berhormat menganggap manifesto sebagai buku suci. Kami menganggap manifesto tidak mengikat kita sehingga tidak boleh bergerak.

“Apabila kita cuba laksanakan dan kita dapati banyak rintangan, umpamanya undang-undang lama yang digubal bekas kerajaan dulu menjadi halangan, pegawai yang dulu bersih daripada jenayah sekarang tidak dapat melaksanakan tugas lalu mereka perlu ditukar.

“Apabila ada pegawai mengganti, mereka tidak ada pengalaman secukupnya. Ini semua menjadi halangan terhadap pelaksanaan janji kami.

“Kalau kami berdosa, kami tanggung. Kita sama-samalah. Tapi kami tidak anggap manifesto sebagai Quran atau bible. Maka apabila ada rintangan, kita perlu cari jalan lain mengatasinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 10:33 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-