Wednesday, July 18, 2018

Ujian bacaan al-Quran syarat bertanding pilihan raya

CALON parti pilihan raya umum Indonesia 2019 di Lhokseumawe, Aceh membaca al-Quran di hadapan tiga panel hakim kelmarin.

JAKARTA 17 JulaiSeramai enam calon di Lhokseumawe, Aceh mengambil ujian bacaan al-Quran semalam bagi memenuhi syarat untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun depan.

Jakarta Post dalam laporannya memetik anggota Suruhanjaya Pemilihan Bebas Lhokseumawe, Mulyadi sebagai berkata enam calon daripada Parti Kebangkitan Nasional (PKB), Parti Gerinda, Parti Garuda, Parti Demokrasi Perjuangan Indonesia (PDI-P), Parti Golkar dan Parti NasDem telah mengambil ujian terbabit semalam.

Tambah Mulyadi, lebih ramai calon bakal mengambil ujian tersebut pada hari ini dan esok.

Menurut Mulyadi lagi, calon akan dinilai berdasarkan adab, sebutan dan kejelasan sewaktu membaca al-Quran selain mereka dihakimi oleh para pegawai dari Institusi Pembangunan Bacaan al-Quran Lhokseumawe, Majlis Ulama serta Kementerian Hal Ehwal Agama.

Di bawah undang-undang 1999 berhubung status khas wilayah Aceh dan undang-undang Autonomi Khas 2001 untuk Aceh serta Papua, calon pilihan raya umum dan daerah dikehendaki mahir dalam bacaan al-Quran.

Dalam perkembangan berlainan, polis Indonesia telah membunuh 11 orang penjenayah dan menembak 52 lagi suspek dalam usaha untuk mengurangkan ke­giatan jenayah di Jakarta menje­lang penganjuran Sukan Asia pada bulan depan.

Jurucakap Polis Jakarta, Pra­bowo Argo Yuwono seperti dipetik oleh Bangkok Post berkata, hampir 2,000 orang telah ditahan sejak operasi tersebut dijalankan sejak 2 Julai lalu.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah tegas termasuklah menembak suspek jika mereka cuba melawan ketika ditahan,” kata Prabowo Argo.

Sementara itu, pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch mengkritik tindakan itu yang disifatkan tidak akan menyelesaikan masalah keselamatan di Jakarta.

“Sukan Asia tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan kekerasan berlebihan,” kata penyelidik pertubuhan tersebut dari Indonesia, Andreas Harsono. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-