Thursday, August 16, 2018

PAS pertaruh Halimah Ali di PRK Seri Setia

Anne Muhammad
Diterbitkan 15 Ogs 2018, 10:55 malam


Teka-teki berhubung calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia terjawab apabila Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dr Halimah Ali diumumkan akan mewakili parti itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Padang Permainan Desa Mentari, Petaling Jaya sebentar tadi.

Melalui sidang medianya, Abdul Hadi berkata pihaknya mempertaruhkan Halimah memandangkan pengalaman yang dimiliki bekas exco Selangor itu.

"Kelebihan dia, salah seorang pemimpin peringkat pusat yang berpengaruh di Selangor kerana telah beberapa kali bertanding PRU dan menang.

"Selain itu beliau berpengalaman menjadi exco dan kerja-kerja masyarakat, sangat penting mempunyai wakil rakyat yang bukan kerajaan," katanya.

Menurut Abdul Hadi, isu yang akan dibawa dalam kempen kali ini adalah kegagalan Pakatan Harapan(HARAPAN) melaksanakan janji 100 hari mereka.

'Stand by me'

Sementara itu Halimah melalui ucapan sulungnya berkata berharap rakyat di kawasan itu memilihnya bagi membentuk pembangkang yang kuat di Selangor.

"Barrack Obama kata yes we can, walau pun bertanding ini tak jadi kerajaan persekutuan, kita boleh bagi mesej kuat pada kerajaan supaya mereka tak alpa dan kita juga boleh jadi check and balance kerajaan.

"Stand by me, I will stand by you, kita akan bawa suara rakyat di DUN dan tunjukkan rakyat penentu apa berlaku pada negeri dan negara," katanya.

PRU ke-14 menyaksikan HARAPAN Selangor menang besar apabila berjaya meraih 51 kerusi DUN, BN (4) manakala PAS (1).

Pada PRK Seri Setia, BN tidak meletakkan calon bagi memberi ruang kepada PAS.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; Mohd Ghazali Daud (Pas) dan S Vigneswaran (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Seri Setia dan Balakong dijalankan serentak pada 8 September depan manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

Hadir sama dalam pengumuman itu ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi.

Selain itu bekas calon BN PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam dan penyokong Umno turut hadir dalam majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-