Tuesday, August 14, 2018

PM: Rakyat hilang kuasa jika Agong berkuasa mutlak tolak undang-undang

Adam Abu Bakar | August 14, 2018

Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia merupakan negara mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen dan suara rakyat adalah penentu kepada segalanya.

DEWAN RAKYAT

Dr Mahathir Mohamad berkata Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau seorang menteri. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk kembali ke tahun sebelum 1994 di mana rang undang-undang (RUU) memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskannya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia merupakan negara yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen dan suara rakyat adalah penentu kepada segalanya.

“Namun demikian kita ikut untuk beri tempat kepada Agong supaya Agong juga tahu tentang undang-undang diluluskan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kalau Agong diberi kuasa mutlak untuk tolak undang-undang, maka rakyat akan hilang kuasa. Dengan itu kita bukan demokrasi lagi, kita akan jadi negara raja berkuasa mutlak. Saya tidak yakin yang berhormat mahukan sistem itu.

“Kuasa berada pada rakyat dan rakyatlah yang tentukan, sebab itulah pindaan dibuat supaya keputusan rakyat tidak boleh ketepikan atau dibatalkan Agong,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mempersoalkan adakah kerajaan akan mengkaji dan meminda semula Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan.

Ia memperuntukkan jika sesuatu RUU tidak diperkenan Agong dalam masa 30 hari dari tarikh RUU tersebut dikemukakan, maka RUU itu seolah-olah diperkenankannya berikutan pindaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Ogos 1983.

Dr Mahathir berkata, pindaan itu dibuat bagi menolak keraguan bahawa Parlimen tidak berkuasa dan negara ini diperintah raja yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Menurut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau seorang menteri kecuali sepertimana yang diperuntukkan dalam selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kedudukan berkenaan dengan perkenan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan kini adalah selaras dengan prinsip raja berperlembagaan yang diamalkan negara ini.

“Pindaan-pindaan yang dibuat sebelumnya tidak wajar dilihat sebagai langkah mengugat kemuliaan raja-raja tetapi memaktubkan prinsip yang disepakati iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi legislatif mewakili kehendak rakyat. Kemuliaan raja-raja tetap dipertahankan dalam konteks raja berperlembagaan,” katanya.

Pada Mei 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mengembalikan kuasa kepada Agong atau raja untuk meneliti dan memperkenankan sesuatu RUU.

Sultan Johor berkata, langkah itu adalah perlu kerana tidak wajar sekiranya kuasa itu dihadkan atau dihapuskan. Langkah itu menjadikan peranan Agong atau raja sebagai “rubber stamp” untuk menurunkan cap mohor terhadang undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat atau DUN.

Baginda merujuk kepada Perkara 40 (1A) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan yang dibuat oleh Parlimen yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat kerajaan.

Pindaan itu turut membabitkan Fasal (3) Perkara 43A; memotong Fasal (6) Perkara 55; Perkara 65; dan Perkara 66 mengenai kuasa memperkenan Yang di-Pertuan Agong mengenai rang undang-undang yang sudah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pada Mei 1994, sebanyak 44 perkara termasuk 3 jadual dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-