Monday, September 24, 2018

Jangan suburkan bibit Islamofobia dengan tutup pusat tahfiz - mufti

Diterbitkan 24 Sep 2018, 1:16 petang


Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta semua pihak agar tidak menyuburkan bibit Islamofobia di negara berbilang kaum dan agama ini dengan desakan supaya institusi tahfiz dihapuskan susulan kes pelajar sekolah itu yang didakwa diliwat pengetua mereka

Sebaliknya, kata beliau insitusi tahfiz perlu dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak.

“Bagaimanapun, institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

“Membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pihaknya juga berharap semua pihak dapat menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak terpandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

Tegas beliau, keadilan adalah selama-lamanya tunjang yang utuh dalam Islam walaupun terhadap individu yang dibenci.

“Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti mana-mana institusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya.

“Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah. Semoga mendung ini bakal berlalu dan menghadirkan sinar kecemerlangan buat institusi tahfiz di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masa untuk mempertimbangkan beberapa cadangan bagi memperkemaskan urus tadbir institusi pendidikan tahfiz negara.

“Antaranya, Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) hendaklah terus diperkasakan dan pemantauan berkala urus tadbir dan kebajikan pelajar Ma’ahad Tahfiz di setiap kawasan dijalankan oleh Ahli Parlimen kawasan.

“Selain itu, cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Fuziah Salleh, bagi pendaftaran Ma’ahad Tahfiz (yang tidak berdaftar) adalah satu cadangan yang wajar dipandang serius,” katanya.

Semalam, Bernama memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai berkata, kerajaan akan menutup pusat tahfizdi Kepong, Kuala Lumpur sekiranya pengetua pusat tahfiz tersebut didapati bersalah meliwat sembilan pelajarnya.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan terkutuk seperti meliwat atau mencabul bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi tahfiz malah mencalar imej baik agama Islam.

Sabtu lalu, media melaporkan seorang guru agama, yang merupakan pemilik pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Dakwaan perbuatan oleh pengetua tahfiz itu melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-