Friday, November 9, 2018

Bekas ahli Umno tak akan kuasai Bersatu, kata Dr Mahathir

Diterbitkan 9 Nov 2018, 5:17 petang


Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad berkata partinya hanya akan menerima bekas ahli Umno yang terbukti tidak lagi terikat dengan perjuangan Umno dan mereka yang mementingkan wang.

Dalam mesej video yang dimuat naik di laman Facebook, Mahathir berkata bekas ahli Umno yang ingin menyertai Bersatu mesti menyokong perjuangan Bersatu.

“Mereka perlu buktikan mereka tidak lagi terikat dengan Umno, mereka mesti sokong tindakan yang baik yang dilakukan oleh Bersatu, dan apabila kami rasa senang dengan kelakuan mereka, maka kita akan terima mereka.

“Mereka bukan boleh masuk dari Umno sebagai kumpulan besar yang berniat untuk kuasai Bersatu.

“Bersatu tidak boleh dikuasai sesiapa, Bersatu dikuasai oleh perjuangannya,” kata Mahathir ketika ditanya sama ada kemasukan secara beramai-ramai ahli Umno akan menyaksikan budaya buruk parti itu akan diserap oleh Bersatu.

Mahathir berkata, Bersatu ditubuhkan oleh sekumpulan bekas anggota Umno yang kecewa dengan sikap rejim terdahulu parti itu.

Katanya, lebih ramai ahli Umno sepatutnya keluar parti jika mereka benar-benar berpegang kepada prinsip parti Melayu itu.

“Tapi kerana juga dipengaruhi oleh cash is king, mereka tidak turut (keluar parti), mereka kekal di Umno dan akhirnya kelakuan ini tidak disenangi dan disukai oleh rakyat yang bertindak menolak mereka.

“Sepatutnya, apabila mereka tengok pemimpin sudah menyeleweng, mereka patut singkirkan pemimpin itu dan sekurang-kurangnya apabila pemimpin itu membuang pemimpin yang lurus, sepatutnya mereka keluar bersama, dan pemimpin itu akan jatuh, tapi ini tidak dilakukan,” kata Mahathir.

Beliau berkata Umno dahulu - yang diketuai oleh Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan dirinya sendiri - adalah parti berdasarkan bangsa, agama dan negara.

Bagaimanapun, pentadbiran Umno sebelum ini, katanya cuma memberi tumpuan untuk menyelamatkan pemimpin tertentu sehingga tidak mepedulikan pemimpin itu buat perkara-perkara yang tidak baik.

“Anggota parti itu menjadi mata buta terhadap salah laku kepimpinan. Maka pada kita ia (parti itu) bukan Umno lagi,” katanya.

Setakat ini, Bersatu menerima seorang anggota parlimen Umno - Mustapa Mohamad - yang memenangi kerusi parlimen Jeli di bawah tiket BN semasa pilihan raya ke-14.

Sejak 9 Mei, parti itu telah menerima bekas ahli majlis tertinggi Umno, Rais Yatim dan dilaporkan sedang melamar bekas Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-