Saturday, November 17, 2018

Khatan bayi perempuan tak sama dengan FGM

Published on November 16, 2018


PUTRAJAYA – Amalan berkhatan umat Islam membabitkan bayi perempuan di negara ini berbeza dengan amalan pemotongan genitalia wanita (FGM) yang diamalkan dalam kalangan wanita di beberapa negara lain, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Berhubung kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa amalan khatan bayi perempuan sebagai pencabulan terhadap hak wanita, Dr Dzulkefly berkata sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan seperti itu.

“Saya nyatakan sekali lagi bahawa khatan bayi perempuan tidak sama dengan FGM dan kita perlu cermat dalam isu ini kerana ia menyinggung banyak aspek termasuk sosial dan budaya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2018 di sini hari ini, beliau berkata kerajaan akan tetap membincangkan isu yang dibangkitkan oleh Suhakam itu secara halus memandangkan ia sangat sensitif.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Suhakam pada Rabu bahawa Putrajaya telah mengelirukan kajian Laporan Berkala Sejagat (UPR) mengenai hak asasi manusia berhubung FGM apabila ia mempertahankan FGM ke atas bayi perempuan sebagai ‘tanggungjawab budaya’ di Malaysia.

Dr Dzulkefly berkata kerajaan tidak akan bertindak kerana tekanan sama ada dari dalam atau luar negara, sebaliknya akan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat supaya isu itu dapat ditangani dengan baik.

“Isu bantah dan sokong ini biasa dalam amalan demokrasi, tetapi akhirnya kerajaan akan membuat satu pendirian dengan cermat dan bukan mengikut emosi,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu berkhatan bayi perempuan di negara ini.

Menurut Dr Wan Azizah, perbincangan itu termasuk melihat kepada faedah daripada amalan berkenaan, serta menambah walaupun ia dilihat sebagai amalan budaya di Malaysia, ia tidak sama dengan amalan FGM yang diamalkan dalam kalangan wanita di Afrika.

 – Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-