Wednesday, November 21, 2018

PAS bidas kembali sindiran Anwar Ibrahim

Presiden PKR lebih pentingkan kedudukan berbanding isu agama
tyrazalhe 19/11/2018

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulawal 1440H, Isnin – Kelemahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan hak Bumiputera cuba ditutup dengan memperkecilkan usaha sama PAS-UMNO untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan sebagai membidas kembali sindiran Anwar ketika berucap dalam Kongres Nasional PKR Ke-13, semalam.

Beliau berkata, kenyataan Anggota Parlimen Port Dickson itu menunjukkan seolah-olah beliau mementingkan kedudukan politiknya, berbanding isu agama yang menjadi asas kepada Perlembagaan.

Nasrudin berkata, pendirian Anwar yang sekadar menyatakan supaya konvensyen antarabangsa berkenaan perlu ditangguhkan adalah longgar, seolah-olah beliau menerima ICERD diratifikasi.

“Ini berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang amat berani dan tegas iaitu ICERD mustahil diratifikasikan.

“Islam meletakkan menjaga agama di tahap pertama dalam Maqasid Syariah. Masihkah ada lagi harapan kepada beliau untuk mempertahankan Islam dengan berani dan tegas? Hanya masa yang akan menentukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Anwar menyarankan kerajaan supaya menangguhkan usaha meratifikasi ICERD kerana triti berkenaan mencetuskan rasa cemas dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

“Tetapi ada beberapa keraguan yang juga dijelaskan dalam Parlimen bahawa tidak sepatutnya merunsingkan kerana kita ada jaminan kedudukan Melayu, bumiputera, Islam agama Persekutuan dan bahasa Melayu.

“Apakah ia akan menjejaskan, ada kebimbangan di situ dan kita daripada pihak kerajaan menjelaskan tidak. Tetapi konvensyen dunia ini begini rupa yang juga menimbul juga sedikit sebanyak kerunsingan,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau pada 16 November lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-