Saturday, December 8, 2018

2,000 anggota keselamatan Amal kawal himpunan

NUR HASMIRA MOHAMAD 
 08 DECEMBER 2018


KUALA LUMPUR: Kekuatan seramai 2,000 anggota keselamatan Jabatan Amal PAS dari pelbagai unit akan ditugaskan pada himpunan ICERD yang berlangsung di Dataran Merdeka, hari ini.

Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris berkata, 400 anggota akan ditugaskan di bahagian trafik, 190 anggota ditugaskan di bahagian medik dan selebihnya akan beroperasi sebagai tugas-tugas am mengawal keselamatan dan menghalang sebarang ancaman provokasi.

"Kita akan bekerjasama dengan polis dan juga DBKL untuk memastikan semuanya berjalan lancar tak ada gangguan.

"Setakat ini kerjasama kita dengan polis berjalan dengan baik, kita telah rancang dua minggu bersama semua agensi," katanya..

Maklum Nazree, pihaknya berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak polis membenarkan Amal mengepalai badan-badan keselamatan NGO-NGO lain yang turut sama bekerjasama mengawal keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.

Ujarnya hanya Amal sahaja yang diberi kuasa oleh pihak polis untuk menghalang provokasi awal dan membantu polis menahan mereka yang mencetuskan provokasi selanjutnya diserahkan kepada polis.

Katanya, uniform Amal yang dipakai pada himpunan nanti punyai identiti khas yang hanya akan dikenali polis.

"Mereka akan bertugas bermula jam 9 pagi sehingga jam 7 malam. 1,200 anggota terdiri daripada Amal Keselamatan PAS Pusat mengiringi pimpinan PAS, 150 anggota Bridged Muslimat akan menjaga keselamatan pimpinan muslimat PAS.

"Selain Amal, 300 NGO keselamatan dari Umno juga telah lapor diri setakat ini, jadi kekuatan yang paling besar adalah di bawah Amal, kita akan mengepalai," katanya lagi.

Ini adalah kali kedua Jabatan Amal Malaysia mendapat permit oleh pihak polis dan DBKL sebagai anggota sokongan kepada pihak berkuasa.

"Kali pertama semasa himpunan GST pada tahun 2014, kali ini kita dapat sepenuhnya permit dari kedua-dua pihak berautoriti.

"Kita harap program himpunan ini berjalan lancar tidak ada provokasi, memang telah dimaklumkan oleh pihak penguatkuasa bentuk-bentuk provokasi yang mungkin akan timbul sebenarnya tapi kita harap tidak akan berlakulah perkara-perkara itu semua," katanya ketika ditemui Harakahdaily semasa meninjau kawasan Dataran Merdeka malam tadi.

Sementara itu, tinjauan awal Harakahdaily ke lokasi berhampiran himpunan, suasana dikawal anggota keselamatan polis. Selain itu telah banyak gerai makanan mula beroperasi dan ada antara peniaga baju ICERD telah mula dijual.

Jalan di sekitar berhampiran Dataran Merdeka telah ditutup seawal malam tadi.

 – HARAKAHDAILY 8/12/2018

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-