Friday, December 14, 2018

Dr M: Pemimpin Umno jumpa saya minta nasihat tentang keluar parti

Mohamad Fadli
-December 14, 2018 7:56 PM


KUALA LUMPUR:  Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin Umno dan bekas menteri berjumpa dengannya baru-baru ini untuk memberitahu mereka mahu keluar parti.

Dr Mahathir berkata mereka juga mahu meminta nasihatnya.

“Mereka datang jumpa saya untuk beritahu bahawa mereka akan tinggalkan Umno dan mahukan nasihat saya. Itu sahaja, tiada perkara lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Muzium Kesenian Islam hari ini.

Beliau ditanya mengenai 2 gambar tular yang menunjukkan Dr Mahathir bersama beberapa pemimpin Umno yang menjadi perbualan di media sosial.

Ia muncul di sebalik spekulasi tentang gelombang baharu penghijrahan pemimpin Umno dari parti itu, seperti yang berlaku di Sabah pada Rabu.

Hari ini, 6 wakil rakyat Umno dilapor meninggalkan parti itu termasuk Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Gambar itu menunjukkan Dr Mahathir bersama Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Datuk Seri Shahidan Kassim; dan Tan Sri Noh Omar.

Semalam, Mohamad menafikan pertemuan itu berkaitan dengan penghijrahan keluar daripada Umno, sebaliknya untuk mendapatkan penjelasan tentang kenyataanya di New York mengenai “menguburkan” Umno pada September.

Kit Siang terima saya

Sementara itu, Dr Mahathir turut ditanya mengenai bantahan daripada DAP dan PKR tentang menerima ahli-ahli Umno ke dalam PPBM.

Dr Mahathir mengingatkan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang juga menerimanya dulu selepas beliau meninggalkan Umno.

“Yang jahat kita tak terima. Yang baik kita terima dan saya sendiri ahli Umno. Dia orang terima saya, Kit Siang terima saya. Bukan pasal ahli, tetapi apa yang kita buat. Jika kita buat sesuatu salah sudah tentu akan ditolak,” katanya.

Beliau menambah dalam PPBM ada juga yang tidak suka kemasukan bekas pemimpin-pemimpin Umno.

Zahid Md Arip

Dr Mahathir turut ditanya mengenai setiausaha politiknya, Muhammad Zahid Md Arip, yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau meminta semua pihak menunggu hasil siasatan pihak berkuasa. “Beliau baru dikaitkan,” katanya ringkas.

Isa, bekas menteri besar Negeri Sembilan, didakwa dengan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak berharga RM160 juta.

Zahid, bekas pegawai khas Isa, didakwa mengambil wang itu bagi pihak Isa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-