Saturday, December 8, 2018

Isu PTPTN boleh 'keluarkan' PH daripada mentadbir negara - Syed Saddiq

Astro Awani
Disember 07, 2018 22:39 MYT

KBS dengan Kementerian Pendidikan dan PTPTN akan berjumpa sebanyak mungkin golongan muda bagi mencari formula terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan. - Gambar fail

SHAH ALAM:  Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) dilihat boleh menjadi antara kemungkinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 'dikeluarkan' daripada terus mentadbir negara.

Justeru, beliau berkata isu berkenaan harus dibincang dengan baik oleh semua pihak kerana ia melibatkan kos sara hidup yang sering menjadi topik utama dibangkitkan golongan muda masa kini.

"Kalau saya tak berjaya angkat suara anak muda tentang ini (PTPTN), maksudnya saya gagal. Sebab itu, kalau kita bincang tentang PTPTN, saya kena pertahankan (keutamaan golongan muda) dan bawa ke jemaah menteri untuk mencari kaedah yang komprehensif menyelesaikannya.

"Disebabkan itu, kita (Kementerian Belia dan Sukan) selaku platform yang dekat dengan anak muda, harus libatkan diri dan menjadi pendesak utama membantu kelompok berkenaan dalam isu berkaitan kos sara hidup," katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di sini, hari ini seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu berkaitan PTPTN dan kehendak serta keutamaan golongan muda masa kini, oleh moderator program berkenaan, Tan Sri Johan Jaafar.

Dalam pada itu, bercakap kepada media selepas program berkenaan, Syed Saddiq menegaskan bahawa PTPTN perlu memastikan kaedah pembayaran baharu yang mahu dilaksanakan ke atas peminjam tabung pendidikan itu dibuat secara adil.

Beliau berkata nasib peminjam yang sedang membayar pinjaman pengajian mengikut jadual ditetapkan PTPTN juga tidak boleh diketepikan kerana mereka menandatangani kontrak pembayaran itu terlebih dahulu dengan perbadanan berkenaan sebelum kaedah pembayaran baharu dikeluarkan.

"Kita tak boleh pukul rata semuanya. Kalau sebelum ini peminjam membayar RM100 ke RM200 sebulan tapi tiba-tiba naik ke RM600 ke RM700, itu terlalu membebankan kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai tanggungan yang besar walaupun bergaji RM4,000 ke atas," katanya.

Sehubungan itu, kata Syed Saddiq, KBS dengan Kementerian Pendidikan dan PTPTN akan berjumpa sebanyak mungkin golongan muda bagi mencari formula terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Pada hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek menyatakan jemaah menteri mahu PTPTN menangguhkan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) ke atas semua peminjamnya susulan pengumuman perbadanan itu pada Rabu lepas, yang akan melaksanakan PGB ke atas peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan.

Pengumuman PTPTN itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ahli politik yang mahu kaedah itu dipertimbangkan semula supaya tidak membebankan peminjam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-