Monday, December 17, 2018

Kit Siang: 'Malaysia Baru' ambil masa 10, 20 tahun

Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan 17 Dis 2018, 8:14 pagi


WAWANCARA | "Malaysia Baru" telah dijadikan frasa untuk menggambarkan negara ini berikutan perubahan kerajaan buat pertama kali dalam pilihan raya umum ke-14.

Secara umum kerajaan diharapkan melaksanakan pembaharuan institusi, memulihkan kedaulatan undang-undang dan yang paling penting, menghapuskan rasuah seperti dinyatakan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Sejak mengambil alih kerajaan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan anggota kabinet meminta lebih banyak masa untuk melaksanakan reformasi dengan menyatakan antara lain bahawa "Rom tidak dibina dalam masa sehari".

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga meminta rakyat bersabar bagi merealisasikan impian itu.

"Saya fikir 'Malaysia Baru' bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam 100 hari atau dua tahun.

"Untuk menetapkan dasar pembinaan semula negara, ia adalah satu usaha yang memerlukan 10 atau 20 tahun," kata Lim kepada Malaysiakini dalam temu bual baru-baru ini di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Sebagai contoh, beliau berkata, penentangan terhadap langkah kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) menunjukkan lebih banyak perbincangan perlu dilakukan.

Bagaimanapun, adakah pengundi mempunyai kesabaran untuk menunggu selama dua dekad?

Lim berkata "tiada siapa" menjangkakan gabungan itu akan memenangi pilihan raya umum pada awalnya, tetapi kini rakyat "mengharapkan segalanya" daripada pentadbiran baru.

Oleh itu, beliau meminta PH tidak mensia-siakan harapan para penyokongnya dan memenangi kepercayaan lebih ramai pengundi Melayu, atau 'Malaysia Baru' akan gagal.

"Jadi saya fikir (pengundi) perlu belajar (melihat) gambaran besar dan perspektif jangka panjang.

"Sekiranya mereka tiada perspektif itu, maka kita akan gagal dan Malaysia Baru tidak akan wujud. Kita akan kembali ke masa lampau yang rosak, dan tidak demokratik.

"Sama ada akan jadi Malaysia Baru, tidak ada yang tahu. Ia juga boleh gagal. Namun ia dicuba. Kita tidak sepatutnya mensia-siakan peluang ini .... " kata Lim.

Yakinkan akar umbi

Bukan itu sahaja, parti komponen PH seperti DAP juga perlu meyakinkan akar umbi untuk kekal bertahan sehingga berlaku pembaharuan.

Lim menegaskan para pemimpin parti itu yang kebanyakannya kini mempunyai peranan dalam kerajaan persekutuan mesti mendengar suara akar umbi atau berisiko hilang sokongan rakyat.

"Kamu mesti bawa perubahan dalam pemikiran di bawah dan di kalangan akar umbi. Itulah tanggungjawab kita.

"Tidak ada gunanya kita berjaya dan kita hilang akar umnbi ... kamu mesti bawa parti bersama-sama.

"Jadi, entah bagaimana, (kita perlukan) keajaiban untuk mencapai kedua-dua matlamat itu," katanya.

DAP baru-baru ini mengadakan pemilihan parti dan menyaksikan beberapa pemimpin utamanya seperti Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong tersingkir.

Menurut Lim, Pua tersingkir dalam pemilihan DAP Selangor kerana hilang sentuhan dengan akar umbi.

Wawancara ini dikendalikan bersama NG XIANG YI dan ANNABELLE LEE.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-