Saturday, December 15, 2018

Mat Hasan: Saya tak cakap nak keluar Umno

Dikemaskini 15 Dis 2018, 12:59 tengah malam


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengesahkan pertemuannya dan beberapa pemimpin kanan Umno yang lain dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut membincangkan hasrat meninggalkan parti mereka seperti didakwa pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hari ini.

“Saya tak nafikan perbincangan itu, tetapi berbagai topik (lain), khususnya tentang kelangsungan Melayu dan Islam,” katanya seperti dilapor FMT.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak akan keluar Umno.

“Saya tidak pernah cakap (keluar Umno). Saya tidak akan keluar Umno, saya tetap dengan Umno," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambah Mohamad lagi, pertemuannya dengan Mahathir turut menyentuh penyatuan Umno dan Bersatu.

“Macam-macam kita bincangkan. Boleh jadi kita bincangkan penyatuan, tentang penyatuan antara Bersatu dan Umno,” katanya.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan semalam dipetik BH Online sebagai berkata pertemuan tersebut diadakan untuk membincangkan saranan Mahathir yang mahukan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir hari ini mendakwa pertemuannya dengan beberapa pemimpin kanan Umno yang tular melalui sekeping gambar itu bukan berkaitan pembubaran parti.

Sebaliknya, Mahathir berkata 'rombongan' tersebut datang untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalkan Umno.

"Mereka datang berjumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan Umno.

"Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain," kata Mahathir.

Selain Mohamad, tokoh yang menyertai makan malam itu ialah bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, Hamzah Zainuddin, Shahidan Kassim dan Noh Omar.

Untuk rekod, Hamzah yang juga merupakan anggota parlimen Larut sudah mengesahkan keluar dari Umno hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-