Thursday, December 13, 2018

Mujahid enggan ulas RCI, pemulihan TH diteruskan

MyMetro
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


PERANCANGAN bagi memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH) akan tetap diteruskan selepas agensi itu dilaporkan mengalami defisit RM4.1 bilion, tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, penafian bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkenaan defisit itu dianggapnya sebagai perkara biasa.

“Kita kekal kepada perancangan kita, paling penting sekarang lembaga ini dapat dipulihkan menerusi pelan dirancang sekali gus dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada umat Islam dan pendeposit TH.

“Selain daripada apa yang diperkatakan orang, biasalah, itu perkara biasa dan kita tetap kepada perancangan dan bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Haji di Jeddah, Arab Saudi semalam.

Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap kedudukan sebenar kewangan TH, Mujahid bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

“Saya baru pulang bertemu dengan menteri-menteri haji di Mekah, tujuan sidang media hari ini adalah untuk maklumkan apa hasil mesyuarat itu,” katanya.

Selasa lalu Abdul Azeez berkata, pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji sejak 2014 tidak melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Beliau berkata, kenyataan Mujahid hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) dan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017.

Beliau mendakwa, Mujahid tidak mengambil kira laporan EY dalam menilai pasaran semasa aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

Pada 10 Disember lalu, Mujahid mendedahkan mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dilaporkan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 7:25 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-