Wednesday, December 12, 2018

PM mungkin tiada maklumat tepat tentang pilihan raya PBT, kata Kit Siang

Khairil Ashraf
-December 12, 2018 12:19 AM

Lim Kit Siang berkata,hanya 3 kawasan yang majoritinya Cina iaitu di Sibu, Kuching dan Pulau Pinang.

BANGI: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan tidak mendapat maklumat tepat apabila mendakwa pilihan raya kerajaan tempatan boleh mengundang masalah antara kaum.

Kit Siang berkata, polarisasi kaum dalam kawasan kerajaan tempatan telah diperbetulkan pada 2010 dan ia kini dikuasai oleh majoriti orang Melayu.

Menurutnya, agak mustahil untuk menimbulkan masalah kaum seperti yang dibimbangi oleh kerajaan.

“Saya rasa mungkin (Dr Mahathir) tidak mendapat maklumat terkini. (Berdasarkan statistik) pada tahun 2010 menunjukkan masalah polarisasi kaum dalam kawasan majlis kerajaan tempatan telah dibetulkan,” katanya pada Majlis Sekolah Malam: Mahu ke Mana Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia, malam tadi.

Beliau berkata, hanya 3 kawasan yang majoritinya orang Cina iaitu di Sibu, Kuching dan Pulau Pinang.

“Daripada 148 kawasan kerajaan tempatan, 122 daripadanya adalah majoriti Melayu, manakala 13 lagi kawasan tidak dikuasai satu kaum, sebaliknya ia bercampur-campur,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan diadakan kerana berkemungkinan ia boleh mewujudkan konflik berasaskan perkauman.

Beliau berkata, pilihan raya itu sekiranya diadakan boleh menghasilkan keputusan yang salah antara bandar dan luar bandar.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang berkata, kekalahan Tony Pua dalam pemilihan ahli jawatankuasa DAP Selangor disebabkan beliau hilang “sentuhan” dengan akar umbi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, perkara itu disebabkan Pua terlalu memfokuskan kepada isu nasional dan polisi.

“Tidak dinafikan Pua banyak memberikan sumbangan kepada parti dan negara, tetapi cabaran bagi ahli politik ialah harus terus behubung dengan akar umbi.”

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kekalahan Pua dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Selangor Ahad lalu.

Ahli Parlimen Damansara itu berada pada kedudukan ke-19 bersama-sama Ahli Dewan Undangan (Adun) Bandar Utama Jamilah Jamaluddin dan gagal menempatkan diri dalam kedudukan 15 pemimpin teratas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-