Friday, January 18, 2019

Anwar: PH tidak beri wang seperti BN untuk raih sokongan

Bernama
-January 18, 2019 8:40 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, kerajaan baru PH akan menyalurkan peruntukan sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands. 
(Gambar Bernama)

TANAH RATA: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan pendekatan politik wang ketika berkempen sebagaimana Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan sokongan.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 200 anggota komuniti Orang Asli Pos Betau dekat sini, semalam, Anwar berkata, pengundi Parlimen Cameron Highlands harus percaya dan yakin bahawa kerajaan baru akan menyalurkan peruntukan sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

“Saya ucap terima kasih kepada anda semua kerana sanggup bersusah payah datang. Saya hanya boleh beri jaminan, kita berkempen tidak macam BN, asal dekat pilihan raya bagi duit, bagi duit dan itu ini selepas itu hilang selama 5 tahun.

“Saya masa berkempen Ahli Parlimen Port Dickson 2 bulan lalu tak bagi (duit). Sebaik menang, menteri turun, projek turun, masjid surau, tokong, termasuk (di) kampung Orang Asli kita bagi perhatian,” katanya.

Turut hadir Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohamad dan calon PH M Manogaran.

Anwar kemudiannya mengadakan sesi dialog tertutup kira-kira 15 minit bersama ketua-ketua kampung atau Tok Batin Orang Asli sebelum meneruskan jadualnya bertemu komuniti Orang Asli di Pos Sinderut serta mengadakan ceramah perdana di Sungai Koyan pada sebelah malamnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pengundi Orang Asli Pos Betau agar memberi kepercayaan kepada Manogaran untuk pihaknya melakukan perubahan.

“Berapa lama dah kerajaan BN memerintah, tengok cara hidup Orang Asli, saya tak kata tiada perubahan langsung, tapi sedikit sekali perubahan yang mereka lakukan.

“Tanggungjawab kita, kita tidak mahu lagi mana-mana masyarakat terpencil.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan kali ini kita kalahkan BN dan sokong PH dan saya yakin dia (Manogaran) akan bercakap (masalah) bagi pihak semua rakyat,” katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Bor serta 2 calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, dan petani, Wong Seng Yee, 40 tahun.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen itu, terbatal dan tidak sah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-