Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, January 13, 2019

Jangan sampai 'dibeli' PH, pesan BN pada Orang Asli

Annabelle Lee
Diterbitkan Hari ini 9:02 pagi


PRK CAMERON | Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Noh Omar mengingatkan pengundi Orang Asli berkenaan taktik yang mungkin digunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan undi mereka.

Berucap dalam acara di kubu kuat BN di Pos Mensun malam tadi, Noh mendakwa beliau melihat Orang Asli dibawa dengan menaiki bas ke sebuah hotel untuk menyertai satu jamuan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bila ia berlaku dan berkata tidak pasti siapa yang menganjurnya.

"Saya bimbang kalau esok lusa, giliran anda pula dipanggil ke hotel itu, duduk dalam dewan, diberi makan dan diceritakan yang bukan-bukan... Fitnah BN (untuk) meracuni fikiran anda.

"Apa saja yang datang daripada PH - kerajaan hari ini - semua berita tidak betul dan fitnah," katanya kepada kira-kira 300 hadirin.

Bekas menteri itu juga menyifatkan kerajaan hari ini sering membuat 'pusingan U' dalam keputusannya dan berbohong kepada rakyat.

'Apa yang mereka beri, ambil'

Turut hadir adalah Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz, yang menggesa pengundi menerima saja apa yang diberikan PH kepada mereka tetapi kekal menyokong BN.
"Apa yang mereka beri ambil, betul? Dia bagi duit, ambil. Dia bagi gula, ambil.

"(Tetapi) undi jangan bagi (kepada calon PH)," katanya.

Ketika BN masih menjadi kerajaan, kebanyakan pemimpin PH terutama pengerusinya Dr Mahathir Mohamad turut menggunakan hujah yang sama kepada pengundi.

Noh dan Nazri turut memuji calon BN Ramli Mohd Nor dan meminta para hadirin mengundinya.

Ramli yang berasal dari Pos Mensun merupakan Orang Asli yang pernah memegang pangkat paling tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ramli berdepan dengan calon PH M Manogaran dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Orang Asli merangkumi 20 peratus pengundi di kawasan parlimen Cameron Highlands.

1 comment: