Monday, January 21, 2019

Kenapa senada DAP isu agama dan bangsa?

IZWAN ABDUL HALIM
20 JANUARY 2019


KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mujahid Yusof yang diamanahkan menjaga agama, tetapi dilihat tidak sensitif untuk memelihara kepentingan Islam di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, banyak kenyataan Menteri itu yang diragui dan mengelirukan, selain dilihat terlalu toleransi seolah merelakan diri dipijak kepala oleh bangsa dan agama lain.

Beliau menyangkal Dr Mujahid yang mendakwa orang Melayu memainkan sentimen agama dan bangsa, sedangkan orang Melayu Islam tidak akan berdiam diri apabila bangsa dan agamanya diperkotak-katik.

"Orang Melayu-Islam akan bangkit pertahan. Jika kita kembali ke zaman Rasulullah, dengan sebab Islamlah bangsa Arab diangkat martabat, maju dan dapat mentadbir dunia. Sama juga dalam konteks Malaysia, kita yakin dengan Islam saja Melayu dan negara akan berjaya.

"Oleh kerana Melayu adalah majoriti dalam negara ini dan bila disebut Melayu mereka adalah penganut Islam, maka sudah pasti perjuangan untuk memartabatkan Islam adalah untuk memajukan ummah," ujarnya.

Bahkan katanya, orang Melayu yang berpegang kepada Islam tidak hanya akan memajukan bangsanya, malah tidak akan mengabai bangsa dan agama lain sebagaimana telah ditunjukkan selama ini.

Namun, beliau kesal kerana dalam isu sedemikian, Dr Mujahid yang juga Naib Presiden PAN sering dilihat senada dengan pemimpin DAP hinggakan terkadang sangat bertoleransi dan merelakan diri dipijak kepala oleh bangsa dan agama lain.

"Apakah ini konsep "Rahmatan lil 'Alamin" versi Malaysia Baharu cuba memperlihatkan Islam seperti itu? Mungkin kerana sesetengah mereka amat memerlukan kebergantungan daripada DAP untuk meneruskan kelangsungan perjuangan mereka.

"Mereka perlu lebih kelihatan menyokong dan menunjukkan kesetiaan demi mendapat undi bukan Melayu dan Islam. Sepatutnya dengan ada Menteri seperti Dr Mujahid dalam Kabinet boleh meringankan kerja-kerja PAS dalam memperjuang dan memartabatkan Islam.

"Tetapi nampaknya perjuangan PAS semakin mencabar di era Kerajaan PH," ujarnya. 

- HARAKAHDAILY
   20/1/2019

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-