Thursday, January 24, 2019

Manogaran: Saya mungkin saman k'jaan Pahang isu tanah Orang Asli

Diterbitkan 23 Jan 2019, 11:57 malam 


PRK CAMERON | Apa saja keputusan dalam PRK Cameron Highlands pada Sabtu ini, calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran mungkin akan tetap memfailkan saman terhadap kerajaan Pahang berhubung hak tanah adat Orang Asli.

Beliau berkata demikian dalam program debat antara calon yang disiarkan secara langsung di TV1 dan Astro Awani, ketika menjawab soalan moderator Faisal Hazis berkenaan perkara itu.

Faisal bertanya tentang kemungkinan kerajaan persekutuan memfailkan saman terhadap kerajaan Pahang, seperti yang dibuat terhadap kerajaan Kelantan.

"Mungkin saya akan saman kerajaan Pahang, sama ada saya menang atau kalah.

"Tanah adat perlu dikekalkan, Orang Asli tidak perlu dipindahkan ke tempat lain," katanya.

Debat bertajuk "Apa perubahan yang diperlukan Cameron Highlands" dan dianjurkan NGO Bersih.

Manogaran berdepan dua calon Bebas, iaitu Wong Seng Yee dan Sallehuddin Ab Talib. Calon BN, Ramli Mohd Nor sebelum ini menolak untuk menyertainya.
Menjawab soalan sama, Wong berkata beliau akan menggunakan pendekatan yang lebih "lembut".

"Saya akan cuba mencapai persetujuan antara pihak yang terlibat.

"Saya tiada sumber untuk memulakan tindakan undang-undang, jadi fokus saya ke arah mewujudkan keadaan menang-menang antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Orang Asli," katanya yang merupakan seorang pemilik ladang.

Sallehuddin pula hanya berkata isu tersebut sebagai sentimental buat Orang Asli.

Undi untuk pembangunan?

Bagi soalan tentang penggunaan isu pembangunan untuk meraih undi - seperti yang dinyatakan sesetengah pihak terhadap kempen PH - Manogaran berkata janji yang dibuat berdasarkan permintaan dan rungutan penduduk.

"Cuma saya boleh ketuk (pintu kerajaan) lebih kuat jika saya dipilih sebagai anggota parlimen."

Wong menegaskan tumpuannya terhadap pelan pertanian di tanah tinggi - ke arah apa yang digelarnya sebagai "pertanian 4.0".
Wong Seng Yee
"Jika saya tak dipilih pun, saya akan berjuang untuk matlamat itu," katanya, membangkitkan pengalamannya dalam NGO berkaitan pertanian selama lebih 15 tahun.

Sementara itu, Sallehuddin berkata tumpuannya terhadap isu yang dihadapi warga Felda generasi kedua, terutama hutang yang ditanggung mereka.

Isu Orang Asli

Orang Asli - yang membentuk hampir suku daripada jumlah pengundi - sekali lagi menjadi tumpuan. Ketika ditanya apakah tawaran untuk golongan itu, Wong berkata mereka harus dihargai dan dihormati, justeru tumpuannya untuk mewartakan tanah dan meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

"Saya akan bekerja dengan pihak terlibat untuk menambah baik pertanian mereka agar mereka tidak perlu membebankan kerajaan, dan mewujudkan platform atas talian untuk menjual produk mereka."

Sallehuddin menyentuh soal keciciran anak Orang Asli dari sekolah dan mahu menangani masalah itu.

"Apabila mereka berhenti sekolah, mereka rasa tertinggal, dan jadi rendah diri. Saya mahu menukar pemikiran mereka agar boleh bersaing di arus perdana.

"Masalah kemiskinan menyebabkan mereka mudah dieksploitasi," katanya.

Manogaran berkata akan memberikan Orang Asli "lebih daripada" tanah dan kemudahan asas.

"Saya akan memimpin tangan mereka dan menyertakan mereka dalam pembangunan negara. Saya juga akan melihat kelemahan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Akta Orang Asli 1954."

Ketika sesi penggulungan, Manogaran mempersoal Ramli yang tidak menyertai debat itu.

"Apa pendiriannya terhadap soalan yang dibangkitkan? Jika dia takut, dia tak perlu bertanding. Jika menang, apa yang akan diperkatakannya di Parlimen (berkenaan isu ini)?"

Wong menggunakan ruang itu untuk menegaskan tumpuannya terhadap alam sekitar dan pertanian yang lestari.

"Kini kita dalam keadaan janggal, BN sebagai kerajaan negeri dan PH di persekutuan. Jika saya dipilih, saya akan menjadi jambatan (kepada dua pihak dalam isu tempatan)."

Ramli pula berikrar untuk membawa suara rakyat di Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-