Monday, February 11, 2019

Adib dalam van ketika lori bomba berundur - Saksi ketiga

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan Hari ini 6:53 petang 


INKUES ADIB | Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dikatakan berada di dalam kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) yang dinaikinya ke Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya ketika rusuhan berlaku.

Perkara itu didedahkan Ahmad Shahril Othman yang merupakan saksi ketiga inkues siasatan kematian Muhammad Adib.

Ahmad Shahril juga memaklumkan bahawa dia merupakan pemandu van EMRS itu ketika kejadian rusuhan 27 Nov tahun lalu.

"Arwah (Muhammad Adib) berada di sebelah saya. Arwah masih berkomunikasi dengan saya.

"Dia masih ada di situ dan melihat lagi seorang pegawai yang sedang keluar dari FRT (Fire Rescue Tender) untuk memadam kebakaran. Kami bercakap 'lajunya Hazim keluar'," kata Shahril pada inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Hazim diperkenalkan dalam inkues itu sebagai salah seorang anggota bomba yang dikejarkan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subaang Jaya dan tiba di lokasi kejadian pukul 1.12 pagi bagi memadam api yang maraj pada sebuah kenderaan di seberang jalan kuil.

"Saya nampak belum sempat dia tarik hose reel tiba-tiba Hazim diserang

Selepas tu say dah tak nampak kelibat Hazim. Tak tau dia di mana," kata Shahril, yang menjelaskan bahawa perusuh datang dari depan, dan sisi sebelah kiri serta kanan lori bomba.

Terdahulu, inkues dimaklumkan tentang sekumpulan kira-kira 50 individu menyerbu lori bomba.

Ahmad Shahril berkata beberapa individu turut menyerang van EMRS yang berada kira-kira dua meter di belakang lori bomba.

"Dalam kelam kabut kenderaan FRT (Fire Rescue Tender) berundur secara tiba-tiba. Terlanggar bahagian depan (EMRS)...

"Pada masa yang sama ada sekumpulan memakai helmet nak menyerang di pintu bahagian pemandu. Ketuk pintu pakai helmet. Lebih dari tiga orang...suruh membuka pintu," kata Ahmad Shahril.

Pemandu lori bomba, Md Eliza Mohd Noor yang juga merupakan saksi kedua inkues menyambung keterangan selepas rehat. Sebelum itu, beliau turut mengesahkan Hazim keluar dari lori bomba dan cuba mengeluarkan gelung hos untuk memadam kebakaran.

Pada kejadian itu, kedua-dua kenderaan berkenaan akhirnya meninggalkan lokasi rusuhan dan menuju balai polis USJ8.

Sebaik tiba di balai polis, Eliza berkata dia diberitahu bahawa Shahril memaklumkan pegawainya bahawa Muhammad Adib tiada di dalam van EMRS.

"Kami kemudian cuba hubungi Muhammad Adib beberapa kali tapi tak ada siapa jawab.

"Selepas 15 hingga 20 minit kemudian, kami menerima panggilan (daripada telefon Muhammad Adib) dan individu dalam talian memberitahu bahawa Muhammad Adib dibawa ke SJMC (Sime Darby Medical Centre)," kata Eliza yang menjelaskan bahawa pasukannya kemudian diarahkan ke hospital.

Inkues diteruskan esok untuk hari kedua dengan kunjungan di lokasi kejadian di kuil yang akan diketuai Koroner Rofiah Mohamad dan pasukan peguam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-