Sunday, February 17, 2019

Dakwaan PAS tidak sokong Umno di Semenyih helah alih perhatian kegagalan PH, kata Hishammuddin

Faiz Zainudin
-February 17, 2019 6:57 PM

Hishammuddin dalam program yang dianjurkan PAS dan Umno cawangan Kantan Permai sempena kempen PRK Semenyih.

SEMENYIH:  Penerimaan penyokong PAS kepada calon BN dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah bukti jelas kerjasama 2 parti itu berjalan baik, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bekas naib presiden Umno itu berkata demikian bagi mengulas dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya PAS tidak menyokong BN dalam PRK Semenyih atas persetujuan Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang jelas tidak benar.

“Bagi saya cukuplah bagi mereka (Dr Mahathir) melaga-lagakan pemimpin kita. Lihat akar umbi jentera Umno-PAS di sini, saya jelas melihat penyatuan,” katanya dalam sidang media bersama-sama ketua PAS cawangan Kantan Permai di sini, Mohamad Nadzri Zainal.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu hanya bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat ketika ini, yang semakin marah terhadap kerajaan PH.

“Lihat bagaimana 9 bulan PH memerintah, apakah yang mereka lakukan? Cukup-cukuplah cuba pecah-belahkan pembangkang. Lihatlah harga sawit yang rendah, getah merudum, minyak dan harga barang naik.

“Tunaikan janji, jalankan tugas kepada rakyat,” katanya sambil memberitahu bahawa sokongan akar Umno PAS di Semenyih adalah “luar biasa”.

Sementara itu, ketua PAS di situ, Mohamad Nadzri berkata, dakwaan Dr Mahathir itu tidak benar.

“Tuan lihat kenyataan itu keluar daripada presiden PAS atau PPBM? Kalau PPBM, itu agenda dialah. Kita kena dengar sendiri daripada tuan guru (Abdul Hadi) untuk jawab perkara itu,” katanya.

Dr Mahathir hari ini sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa PAS membuat pengakuan tidak akan menyokong Umno dalam PRK Semenyih.

Menurut beliau, pendirian itu dinyatakan parti itu berikutan Umno bukan melawan DAP dalam PRK Semenyih, sebaliknya berdepan PPBM.

Katanya, Hadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat pengakuan itu dalam pertemuan di pejabatnya, kelmarin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-