Saturday, February 16, 2019

Langsung: Wakil PAS disambut pelukan orang BN

Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan Hari ini 7:55 pagi


PRK SEMENYIH | Pilihan raya kecil keenam selepas berlangsungnya PRU bersejarah pada 9 Mei 2018, kini bermula secara rasmi.

Bertempat di Selangor sekali lagi PH dan pembangkang bersaing untuk menduduki kerusi kawasan DUN Semenyih yang kosong sejak 11 Jan lalu.

Sama seperti PRK lain - dengan pengecualian di Port Dickson - PRK Semenyih ini diadakan dalam keadaan tidak dirancang. Ia berlangsung selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia.

Umumnya saingan utama di Semenyih ialah di antara PH dan BN yang mendapat sokongan PAS, manakala penyertaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta calon bebas dijangka tidak memberi banyak kesan ketara.

Malaysiakini membawakan liputan langsung proses penamaan calon untuk PRK Semenyih hari ini di sini.

LAPORAN LANGSUNG

8.25am, Persiaran Impian Perdana: Penyokong PH berdoa sebelum mula berarak ke pusat penamaan calon yang ditetapkan SPR iaitu Dewan Sri Cempaka.

Penyokong beragama Islam juga mengiringi perarakan sejauh kira-kira 200 meter itu dengan laungan takbir.

Kira-kira 500 orang hadir setakat ini untuk memberikan sokongan moral kepada calon PH.

Mereka diketuai Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH, Muhyiddin Yassin.

Antara tokoh dikenali ramai menyertai perarakan itu ialah Anggota Parlimen Jeli dan bekas menteri kanan BN, Mustapa Mohamed.

8.07am, belakang Dewan Si Cempaka: Kira-kira 20 wakil dari PAS tiba di khemah BN dan disambut dengan mesra dengan pelukan oleh penyokong BN.

Ketika ini dianggarkan ada kira-kira 500 penyokong membanjiri tempat berkumpul berkenaan.
Pemimpin lain yang turut hadir memberikan sokongan termasuklah Nazri Aziz, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tajuddin Abdul Rahman, Mohamed Khaled Nordin, Zambry Abdul Kadir dan Ahmad Maslan.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan tiba kira-kira jam 8.20.

8.00am, Persiaran Impian Perdana: Kira-kira 50 penyokong PSM berkumpul di depan lot-lot kedai berhampiran pusat penamaan calon.

PSM itu mempertaruhkan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon mereka untuk cuba mendapatkan undi sekali gus membawa parti itu menjadi sebahagian daripada Adun di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Nik Aziz tiba di kawasan berkenaan ditemani isteri dan anaknya.

Turut memberi sokongan moral ialah Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim; setiausaha agung mereka, A Sivarajan dan penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong.

7.30am, Persiaran Impian Perdana: Suasana santai dilihat pada kelompok PH yang berkumpul di kawasan parkir di tepi padang golf setakat ini.

Pemimpin PH dan calon mereka Muhammad Aiman Zainali mengambil sarapan, berbual-bual dan sesetengah penyokong mengambil kesempatan berswafoto.

Berpakaian baju Melayu Muhammad Aiman, 30, nampak yakin dan terus menguntum senyum apabila disapa penyokong.

Turut kelihatan Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

7.19am, Parkir belakang Dewan Sri Chempaka: Calon BN, Zakaria Hanafi, tiba di tempat berkumpul penyokong BN menaiki kenderaan pikap Isuzu D-Max.

Lengkap berbaju Melayu biru, bersamping dan bersongkok, Zakaria melayan permintaan penyokong yang meminta bergambar.

Kira-kira 30 orang penyokong menunggu seawal jam 7.15am di khemah BN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-