Friday, February 15, 2019

Najib tak pernah dengar syarikat judi taja lawatan polis

FMT Reporters
-February 14, 2019 8:52 PM
Bekas PM Najib Razak pelik mengapa lawatan untuk 2019 diluluskan pada 2017.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mendakwa tidak pernah dengar syarikat judi menaja lawatan pegawai-pegawai polis selama beliau menjadi perdana menteri.

Beliau juga pelik dengan dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa lawatan yang diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun itu diluluskan pada 2017, iaitu semasa pentadbiranya.

“Semalam, Lim dengan bangganya berkata kos lawatan pegawai polis ke Turki tidak guna wang rakyat, tetapi ditaja syarikat judi Da Ma Cai.

“Selepas kuat dikecam, hari ini dia ‘taichi’ dan salahkan Barisan Nasional lagi. Tetapi sepanjang masa saya jadi perdana menteri, saya tidak pernah dengar berlakunya kejadian syarikat judi menaja lawatan polis.

“Saya juga tidak pasti dan pelik mengapa lawatan untuk 2019 boleh diluluskan 2 tahun sebelum ini, iaitu pada 2017,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kepada kontroversi lawatan kerja polis ke Turki yang ditaja syarikat perjudian, yang didakwa diluluskan bawah pentadbiran BN.

Najib berkata, mengapa kerajaan Pakatan Harapan tidak membatalkannya sekiranya benar ia diluluskan 2 tahun lalu.

“Kenapa GST, bantuan rakyat dan segala projek mega boleh dimansuhkan dalam masa 9 bulan PH memerintah, tetapi lawatan ini tidak boleh dibatalkan?” katanya.

Beliau menjawab pendedahan Lim hari ini bahawa lawatan kerja polis ke Turki itu diluluskan semasa pentadbiran BN.

Lim menjawab kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilapor berkata tajaan itu tidak sensitif terhadap umat Islam.

Delegasi itu dilaporkan ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian.

Gambar para pegawai kanan polis dalam rombongan itu disiarkan oleh laman Sarawak Report.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-