Friday, March 15, 2019

Belum tiba masa tubuh kerajaan campuran - Hadi Awang

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bh.com.my

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Hadi Awang. 
- Foto Asyraf Hamzah

KUALA TERENGGANU:   Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menegaskan, belum tiba masa untuk parti itu membincangkan cadangan menubuhkan kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, cadangan UMNO supaya kerjasama parti itu dipererat dengan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan PAS, perlu diteliti dengan lebih terperinci.

Katanya, ketika ini UMNO dan PAS hanya bertaawun dan bekerjasama, namun belum untuk sampai ke tahap menubuhkan kerajaan campuran.

“Kita baru peringkat bertaawun, bekerjasama. Belum lagi kerajaan campuran. Pilihan raya pun lambat lagi. Kena tunggu pilihan raya lah nak tubuhkan kerajaan campuran.

“Kita akan perincikan dan teliti dengan mendalam cadangan itu kerana kita (PAS) berpengalaman dalam kerajaan campuran pada 1973,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Ijtima’ Guru PAS Terengganu 2019 di Kuala Ibai di sini, petang tadi.

Hadi berkata, kerjasama parti itu dengan UMNO akan diteruskan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan, bulan depan.

“Sekarang ini perbincangan kita khusus untuk PRK DUN Rantau saja yang akan diadakan bulan depan. Tidak ada lagi perbincangan mengenai kerajaan campuran,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS juga bersedia menubuhkan kerajaan campuran dengan parti Melayu lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gagasan Sejahtera.

“Kerajaan campuran yang pernah saya katakan itu mesti membabitkan semua parti politik, bukan satu parti saja.

“Mana-mana parti yang bersikap positif, PAS akan ambil kira, bukan UMNO saja, tetapi juga BERSATU yang ada krisis dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini melontarkan cadangan supaya UMNO dan PAS mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan PAS ketika ini.

Beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada PAS baru-baru ini dan masih pada peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-