Saturday, April 20, 2019

Kenapa Ong umum pemutihan penjawat awam? - Pemuda Umno

News | Diterbitkan Hari ini 5:02 petang


Pemuda Umno menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming mengenai langkah untuk meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Menurut ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan Ong itu sepatutnya dibuat pemimpin tertinggi kerajaan dan bukan dilakukan secara 'semberono' dalam program wawancara televisyen.

"Kerajaan perlu menjelaskan seberapa segera, apakah kenyataan Dr Ong Kian Ming ini merupakan keputusan rasmi kabinet dan jika benar ia keputusan rasmi kabinet mengapakah yang membuat pengumuman mengenainya adalah seorang timbalan menteri, bukan perdana menteri, timbalan perdana Menteri atau menteri," kata Asyraf.

Ong dalam wawancara Astro Awani pada 17 April lalu berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian.

Tindakan itu, kata Ong, adalah kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Menurut Ong walaupun beliau tidak berhadapan masalah untuk bekerjasama dengan kakitangan di MITI, namun kementerian lain masih berdepan kesukaran.

"Saya tidak nafikan kementerian lain seperti Kementeraian Komunikasi dan Multimedia memang ada cabaran yang lebih berat kerana ada ramai orang yang lebih berpihak kepada kerajaan lalu dan kita kita masih buat cleaning up process (proses pembersihan)," katanya.

Perlembagaan lindungi penjawat awam

Mengulas lanjut, Asyraf berkata Perkara 132 (2A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penjawat awam berhak memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Perkara 135 pula memperuntukkan bahawa mereka tidak boleh dibuang kerja dan diturun pangkat secara sesuka hati,” katanya.

Tambah Asyraf, walaupun ada garis panduan melarang penjawat awam mengambil bahagian dalam aktiviti politik dalam Seksyen 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002, Sub-Seksyen 5 pula tidak menghalang mereka daripada menjadi ahli biasa parti politik.

Katanya lagi, kerajaan BN tidak pernah menzalimi sebahagian penjawat awam yang menyokong, mengundi dan menjadi ahli biasa parti politik Pakatan Rakyat dan PH.

Sementara itu, penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Yusof meminta Ong menjelaskan dengan tepat dan terperinci tentang kenyataan ‘cleaning up process’ terhadap penjawat awam yang dikeluarkannya itu.

“Kenyataan Dr Ong Kian Ming hanya mengaitkannya dengan ‘lebih berpihak kepada kerajaan yang lalu’,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Kamarul, kenyataan Ong itu perlu dipandang serius kerana ia bukan hanya melibatkan kementeriannya, tetapi seluruh kerajaan.

Tambah Kamarul lagi, PH perlu sedar bahawa persepsi seolah-olah PH berkonfrontasi dengan penjawat awam mungkin menjadi penyebab sokongan golongan itu tidak berpihak kepada mereka dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-