Friday, April 26, 2019

Mansuh matrikulasi: DAP hapus dulu sekolah vernakular, UEC

Pemuda UMNO beri amaran jangan sentuh hak, kedudukan Bumiputera
fazleen safina 
26/04/2019


BANGI, 20 Syaaban 1440H, Jumaat – Mengapa parti tamak haloba, DAP tidak memperjuangkan sistem pendidikan satu aliran, dengan membubarkan sahaja sekolah vernakular dan memansuhkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), jika benar mahu menyatukan sistem pendidikan hari ini.

Exco Biro Akademik dan Mahasiswa Pergerakan Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin berkata, alasan DAP yang kononnya mahu ‘menyatukan sistem peperiksaan kemasukan institusi pengajian tinggi awam’ bagi mendesak kerajaan memansuhkan program matrikulasi, ternyata tidak jujur dan berat sebelah.

Menyelar desakan sekumpulan pemimpin DAP semalam, beliau berkata, parti itu sepatutnya bersikap jujur dan ikhlas apabila bercakap mengenai prinsip keadilan dalam isu itu.

“Anehnya, Program Matrikulasi yang berteraskan sistem quo 90:10 dikatakan tidak adil, tetapi pengiktirafan UEC yang diperjuangkan mereka dikatakan adil pula?,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bersama yang dibuat 20 pemimpin DAP semalam, yang menggesa kerajaan menggantikan peperiksaan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sekumpulan pemimpin itu dilaporkan berkata, jemaah menteri harus mengurangkan bilangan pelajar program matrikulasi secara beransur-ansur, dan melangkah ke arah ‘menyatukan sistem peperiksaan kemasukan institusi pengajian tinggi awam’.

Gesaan itu antara beberapa cadangan jangka panjang dan pendek yang dikemukakan mereka berhubung kontroversi mengenai bilangan kuota pengambilan pelajar untuk kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM).

Mengulas lanjut, Farhan berkata, DAP perlu sedar bahawa Program Matrikulasi KPM ditubuhkan bertujuan untuk membantu pelajar Bumiputera mengikuti pengajian pra-universiti, sekali gus membantu mereka masuk ke institusi pengajian tinggi tanpa melalui STPM.

“Asasnya, Program Matrikulasi KPM ini merupakan pintu bagi anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk menempatkan diri dalam bidang-bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan dan bidang profesional yang lain.

“Berbilion ringgit dilaburkan untuk pembinaan pusat-pusat matrikulasi seluruh negara seperti di Gopeng, Tangkak, Arau, Kuala Pilah dan Jugra,” katanya.

Katanya, kerajaan terdahulu tidak pula terlepas untuk membantu kaum-kaum lain dalam hal kemasukan ke IPTA, malah sebanyak 10 peratus daripada purata 20,000 tempat setahun atau 2,000 peluang dibuka untuk mereka.

“Hairan, apakah sebenarnya kenyataan bersama pemimpin DAP yang disiarkan di laman media Freemalaysiatoday.com ini merupakan cerminan kepada agenda mereka untuk menghapuskan kedudukan bumiputera dan non-bumi seperti yang dipersetujui mereka melalui Deklarasi Setapak 1967?

“Pemuda UMNO memberi amaran keras kepada DAP bahawa jangan diusik apa yang telah dipersetujui.

“Jalankanlah tugas kamu sebagai kerajaan dalam membela nasib rakyat, menyediakan peluang pejerjaan kepada anak muda serta memulangkan semula hak mahasiswa seperti baucer buku, potongan bayaran balik PTPTN, biasiswa Mybrain serta Kad Debit Siswa yang telah dirompak oleh kerajaan hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-