Monday, April 15, 2019

PH kalah sebab perbuatan mereka sendiri: Nasrudin

siti hafidah 
15/04/2019

Konflik dalaman, gagal tunai janji manifesto faktor besar PH tewas


BANGI, 9 Syaaban 1440H, Isnin Krisis keyakinan dialami Pakatan Harapan (PH) setelah gagal memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Sabtu lalu adalah akibat daripada perbuatan mereka sendiri.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hasan berkata, kegagalan janji manifesto, kelemahan pentadbiran, konflik dalaman yang semakin parah dan persaingan kuasa daripada anasir tertentu untuk menjatuhkan perdana menteri adalah faktor empirikal yang menyumbang ke arah kekalahan itu.

Beliau berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,510 undi dan peratusan tertinggi keluar mengundi iaitu 79.3 peratus dalam tujuh siri PRK setakat ini adalah satu mesej besar yang ditunjukkan rakyat kepada PH.

“Setelah 11 bulan PH mentadbir negara, keputusan PRK Rantau adalah tamparan hebat yang ditunjukkan oleh rakyat. BN menang 13 daripada 14 Pusat Daerah Mengundi.

“Malah, sokongan pengundi India dan Cina telah meningkat secara drastik kepada BN.

“Kemenangan tiga kali berturut-turut di pola pengundian serta demografi berbeza adalah satu pencapaian yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), serta Parlimen Port Dickson (13 Oktober), yang semuanya dimenangi PH.

Bagaimanapun, BN memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu, dan DUN Semenyih pada 2 Mac.

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat PH yang menunjukkan rakyat menolak gabungan parti itu, dan memilih kerjasama UMNO dan PAS.

Nasrudin berkata, PAS optimis dengan kerjasama politik (ta’awun siyasi) yang dibentuk setakat ini, yang mana ia mencerminkan aspirasi baharu rakyat untuk menundukkan keangkuhan PH.Selain itu katanya, PAS tidak seharusnya leka dan mesti memberikan fokus untuk terus membina keampuhan parti.

“Kerjasama politik adalah salah satu uslub dan sentimen rakyat juga tidak kekal. PAS hendaklah sentiasa bermuhasabah, meneruskan kerja rutin jama’ah dan memberdaya kualiti. Amanah kepimpinan khususnya di Kelantan dan Terengganu mesti dipelihara agar menjadi model pentadbiran Islam yang terbaik.

“Elakkan berada dalam zon selesa, sebaliknya tumpu kepada ruang-ruang yang perlu diperbaiki. PAS yakin bahawa kemenangan Islam tidak akan terjadi melainkan hanya dengan pertolongan Allah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-