Saturday, April 20, 2019

Sidang DUN Perak Gamat, ADUN Minum Minyak Sawit

APRIL 19, 2019

IPOH:  Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak gamat seketika apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Dr Ko Chung Sen meminum minyak sawit merah ketika mengakhiri ucapan perbahasannya, hari ini.

Katanya ia sebagai gimik kepada kempen ‘Sayangi Sawitku’ yang sering dipandang serong oleh segelintir pihak malah dijadikan bahan jenaka beberapa ahli politik pembangkang.

Difahamkan juga tindakan beliau itu juga merupakan rentetan cabaran ke atas dirinya untuk berbuat demikian pada persidangan sesi DUN Perak baru-baru ini.

Chung Sen yang berlatarbelakangkan pakar bedah dalam bidang kardiotorasik atau jantung itu berkata minyak sawit merah mengandungi banyak khasiat.

Antaranya ia mampu mengurangkan kadar kolesterol, mengurangkan risiko sakit jantung, mengurangkan risiko penyakit alzheimer, meningkatkan kesihatan otak dan sebagainya.

Selain itu katanya, harga minyak sawit yang lebih murah berbanding dengan harga minyak lain seperti minyak kelapa, zaitun, soya dan bunga matahari adalah antara sebab mengapa minyak sawit harus dijadikan pilihan utama rakyat Malaysia.

“Minyak ini menjadi mudarat apabila orang menyalahgunakannya apabila menggunakan kembali minyak tersebut selepas memasak. Sehingga menjadi hitam tidak baik untuk kesihatan.

“Minyak sawit ini adalah yang termurah berbanding dengan yang lain. Bukan sahaja murah malah ia lebih sihat.

“Minyak sawit ini juga adalah hasil daripada usaha para peneroka dan pekebun kecil kita. Kita seharusnya menyokong,” katanya.

Beliau kemudian menyeru semua pihak termasuk daripada pembangkang untuk turut menyokong kempen ‘Sayangi Sawitku’ dan seterusnya menuangkan secawan minyak sawit merah yang dibawanya sebelum ia diminum.

Beberapa ADUN Pembangkang cuba untuk membuat pencelahan kepada beliau namun dihalang Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli kerana masa tidak mencukupi.

Selepas Speaker mengumunkan penangguhan sesi persidangan dewan, Chung Sen menjemput semua ADUN Pembangkang dan kerajaan untuk datang ke kerusi beliau bagi turut sama meminum minyak sawit merah.

Antara ADUN yang kelihatan berbuat demikian ialah ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud; ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu serta ADUN Batu Kurau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-