Wednesday, May 15, 2019

Akademik: Cadangan hapus program matrikulasi cetus kemarahan orang Melayu

Mohamad Fadli
-May 15, 2019 8:55 AM

Ahli akademik, Teo Kok Seong berkata, program matrikulasi adalah sebahagian daripada perlembagaan negara dan kontrak sosial. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:  Seorang ahli akademik berkata cadangan menutup kolej matrikulasi hanya akan mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

Felo penyelidik utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Teo Kok Seong berkata cadangan menutup program matrikukasi itu juga tidak boleh diterima.

“Ini kerana jika ambil kira Perlembagaan dan ikut sejarah dalam kontrak sosial, program matrikulasi adalah sebahagian daripadanya.

“Dalam kontrak sosial, orang Melayu merupakan penduduk asal yang perlu diberi keistimewaan. Jika matrikulasi dihapuskan, ini mencabuli kontrak sosial,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Gerakan, Dr Dominic Hau Loe Chai berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berani untuk menghapuskan program matrikulasi sebagai permulaan pentadbiran yang adil kepada semua kaum dalam matlamat membina sebuah Malaysia baru.

Dominic berkata, langkah itu dilihat bertepatan dengan situasi semasa dan ia perlu dilakukan bagi menghentikan layanan tidak adil terhadap pelajar bukan Bumiputera di negara ini.

Dalam pada itu, Teo berkata kenyataan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin bahawa program matrikulasi sudah tidak relevan merupakan satu kenyataan politik.

Katanya ini bagi membolehkan kaum lain seperti orang Cina terus memberi sokongan kepada PH.

“Daim rapat dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan penyokong kuat kepada PH. Kenyataan itu lebih kepada survival politik dia,” katanya.

Media melaporkan sebelum ini, Daim berkata, program matrikulasi sudah tidak relevan kerana tujuan asal bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah ditangani.

Daim berkata, pembangkang akan menjadikannya sebagai isu untuk mengkritik PH sekiranya program matrikulasi dihapuskan.

Matrikulasi merupakan program pra-universiti yang diperkenalkan pada 1999 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pelajar Bumiputera.

Ia bertujuan membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan profesional lain.

Bagaimanapun, rogram matrikulasi sering dikritik sebagai “pintu belakang” bagi pelajar Bumiputera untuk memasuki universiti tempatan, selain dikatakan sebagai “laluan mudah” berbanding STPM.

Pada 29 April lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan penambahan 60% pengambilan ke program matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar, dengan mengekalkan nisbah 90% untuk Bumiputera dan 10% untuk bukan Bumiputera.

Penambahan itu membolehkan penambahan pengambilan pelajar bukan Melayu tanpa menjejaskan kuota Bumiputera.

Keputusan Kabinet itu dibuat selepas rungutan daripada pemimpin kaum India yang mendakwa pelajar cemerlang kaum itu tidak mendapat tawaran ke program matrikulasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-