Friday, May 24, 2019

Najib dedah soalan yang mahu ditanya pada Kit Siang

FMT Reporters
-May 24, 2019 4:47 PM


PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mendedahkan soalan-soalan yang mahu ditanyakan pada Lim Kit Siang selepas pemimpin DAP itu menarik diri daripada “debat kleptokrasi” dengan bekas perdana menteri itu.

Antara soalannya menyentuh wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank miliknya dan dikaitkan skandal 1MDB, dan keengganan kerajaan mendedahkan perjanjian penyelesaian International Petroleum Investment Company (IPIC) dan 1MDB.

Bekas perdana menteri itu meminta Lim mengakui RM2.6 bilion itu sudah dipulangkan, dan terdapat banyak bayaran kepadanya adalah dari Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“Adakah Lim mengaku perjanjian penyelesaian IPIC dengan 1MDB ada klausa untuk IPIC membayar balik kepada 1MDB wang yang dikatakan hilang sebelum 30 Disember 2020,” tambahnya.

Najib juga meminta Lim menerangkan kenapa kerugian RM33.2 bilion yang ditanggung Bank Negara pada 1990-an dalam skandal tukaran mata wang asing tidak memufliskan negara, “walaupun satu aset atau satu ringgit tidak dapat dipulangkan”.

“Tetapi pinjaman RM31 bilion 1MDB pula boleh memufliskan negara walaupun ada perjanjian penyelesaian, ada aset-aset bernilai RM140 bilion dan RM40 bilion yang kini digelar PH sebagai aset terbaik negara,” tambahnya.

Antara lain yang ditanyakan mengenai kebenaran dakwaan pemimpin DAP, Tony Pua mengenai kos projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dikatakan hanya RM29 bilion.

“Sedangkan PH telah bersetuju dengan harga RM44 bilion. Itupun selepas jajaran telah ditukar, jumlah jarak dan stesen telah dikurangkan,” tambahnya, merujuk kepada angka baru selepas rundingan semula dengan pihak China.

Najib juga minta Lim menerangkan kenapa pasaran saham bawah pentadbiran PH digelar “paling corot”, dan kenapa data Bank Negara menunjukkan hutang negara meningkat “jauh lebih pantas” bawah pentadbiran PH dan mencapai RM785.4 bilion, berbanding RM686.8 bilion pada akhir 2017.

“Kenapa anak dia berbohong hutang sudah menurun,” tambahnya, merujuk kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Saya juga akan tanya kenapa Lim tidak rasa bersalah apabila kes kes rasuah anak dia yang sudah berlangsung dalam mahkamah digugurkan begitu sahaja,” katanya lagi, sambil mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun terkejut dengan pengguguran itu.

“Dan saya akan tanya kenapa tidak ada kes rasuah terhadap pemimpin-pemimpin DAP sedangkan kertas siasatan SPRM tentang terowong yang terbongkar telahpun disahkan sebagai sahih oleh menteri di Dewan Rakyat.”

Lim semalam menarik diri daripada perdebatan dengan Najib, sehari selepas beliau menyahut cabaran bekas perdana menteri itu dengan syarat tajuknya perlu memfokuskan “kleptokrasi”.

Ahli politik veteran DAP itu mendakwa ramai rakyat menasihatkannya tidak meneruskan perdebatan itu kerana bimbang ia akan bertukar menjadi “konflik orang Melayu lawan Cina”.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-