Monday, May 20, 2019

Zahid, Najib bakal diketepikan akhir tahun ini?


Umno dijangka melakukan pindaan pada salah satu fasal dalam perlembagaannya November ini melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Menurut sumber, jika cadangan berkenaan diterima ia boleh membawa kepada pengguguran jawatan beberapa pemimpin kanan Umno termasuk presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata sumber itu peruntukan yang dicadangkan untuk dipinda ialah fasal 9.9 yang akan melucutkan jawatan parti bagi seseorang yang didakwa di mahkamah.

"Jawatan seseorang pemimpin parti akan gugur secara automatik apabila mereka didakwa di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Pindaan berkenaan, kata sumber yang enggan didedahkan identitinya itu, boleh dianggap strategi halus pihak tertentu untuk menyingkirkan Ahmad Zahid, selain mengetepikan Najib Razak selaku ketua Umno Pekan.

Turut berdepan kemungkinan disingkirkan ialah Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun menurut sumber terbabit, rancangan meminda perlembagaan itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan sokongan dua per tiga perwakilan.

"Apa yang dibimbangkan, tindakan itu akan membawa kepada perpecahan Umno disebabkan Najib dan Ahmad Zahid masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri," katanya.

Kuasa autonomi untuk Sabah

Sumber itu menjelaskan EGM berkenaan juga akan membincangkan beberapa pindaan lain.

Namun katanya daripada semua usul pindaan yang dicadangkan fasal 9.9 itu dijangka paling menarik perhatian.

Difahamkan, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dipertanggungjawabkan bagi meneliti isu pindaan perlembagaan tersebut.

Pada 22 April lalu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memberitahu Umno akan mengadakan EGM bagi membolehkan beberapa pindaan perlembagaan dibuat.
Katanya antara aspek yang akan dipinda ialah agar Umno Sabah mendapat kuasa autonomi sepenuhnya.

Melalui pindaan perlembagaan itu, Umno Sabah boleh membuat keputusan tanpa perlu merujuk pusat.

EGM itu akan diadakan serentak dengan perhimpunan agung parti yang dijadualkan pada 13 hingga 16 Nov nanti.

Untuk rekod, Ahmad Zahid yang memenangi jawatan presiden parti pada pemilihan Umno tahun lalu menerima tekanan untuk bercuti selepas menghadapi 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah.

Najib yang juga bekas perdana menteri pula berdepan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkait dengan 1MDB.

Sementara itu, sumber itu berkata banyak cadangan lain turut dikemukakan. Antaranya mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan parti.

"Akan dicadangkan agar jawatan penting seperti presiden, timbalan, naib serta ketua sayap parti boleh disandang untuk tempoh maksimum tiga penggal sahaja.

"Begitu juga dengan jawatan ketua Umno bahagian. Itu antara pembaharuan yang cuba dibawa Umno kali ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-