Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Wednesday, June 26, 2019

Bakke Salleh dilantik pengerusi baru Felda

Bernama 
Diterbitkan Hari ini 7:01 malam


Mohd Bakke Salleh telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baru untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021, umum Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menterinya Mohamad Azmin Ali dalam kenyataan akhbar berkata pelantikan Mohd Bakke adalah setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Mohd Bakke merupakan seorang tokoh korporat yang berintegriti dan berwibawa. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan untuk meneruskan usaha mengembalikan Felda sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian Felda,” katanya.

Mohamad Azmin berkata beliau mengambil maklum hasrat Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Felda berkuat kuasa pada 30 Jun 2019.

Menurutnya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha kerajaan Pakatan Harapan membina semula Felda dan memastikan kemampanan industri perladangan serta masa depan peneroka Felda yang terjamin.

“Beliau bersama pengurusan Felda yang baru telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian Felda dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-