Sunday, June 16, 2019

Kit Siang bimbang skandal video seks hancurkan PH

News | Diterbitkan Hari ini 12:34 tengahari 


Veteran DAP Lim Kit Siang memberi peringatan kepada rakan Pakatan Harapan (PH) bahawa skandal video seks yang memaparkan individu mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan agenda Malaysia Baru tersasar daripada landasan.

“Selama empat hari, seluruh negara begitu ghairah ingin tahu, diburu dan dihantui oleh video seks yang membabitkan individu mirip seorang menteri, dan hal itu berpotensi memusnahkan PH serta membuatkan agenda Malaysia kita tersasar.

"Pemimpin PH mesti bersatu untuk maju ke depan dan tak tersasar daripada agenda Malaysia Baru.

“Tak syak lagi, video seks Haziq merupakan cabaran terbesar PH sejak memenangi PRU14,” katanya merujuk kepada Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku merupakan salah seorang lelaki dalam video seks tersebut.

Lim turut bertanya sekiranya rakyat yang mengundi PH akan membenarkan video seks yang tersebar sejak beberapa hari lalu itu menggagalkan misi “Selamatkan Malaysia”.

Memberi jaminan pentadbiran PH akan terus melaksanakan janjinya apabila parlimen bersidang pada Julai, beliau meminta orang ramai untuk menaruh keyakinan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan berhubung kes video tersebut.

Dalam kenyataan sama, Lim menjangkakan rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentangkan pada sidang parlimen yang akan datang.

“Saya mahu sidang parlimen Julai ini dikenali sebagai parlimen IPCMC, bukannya sidang video seks Haziq,” katanya.

Anggota parlimen Iskandar Puteri itu turut mencadangkan RUU IPCMC didedahkan kepada umum sekurang-kurangnya selama seminggu sebelum dibentangkan supaya dapat menerima maklum balas rakyat.

Jelasnya, jika RUU itu dibentangkan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hanya memiliki masa selama kurang 700 hari untuk memajukan agensi kerajaan itu menjadi pasukan bertaraf dunia.

“Semua pemimpin PH mestilah sedar bahawa cabaran tahun kedua adalah untuk menjadi lebih berjaya dalam mengotakan pelbagai janji yang dibuat berbanding semasa tahun pertama.

“Mari kita beri tumpuan terhadap apa yang menteri dan timbalan menteri mampu laksanakan dalam tahun kedua kerajaan PH,” katanya lagi.
Bulan lepas, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata bahawa RUU IPCMC akan dibentangkan pada tahun ini.

Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) telah ditugaskan untuk merangka kertas kabinet berkenaan IPCMC untuk dibincang dan diluluskan.

Penubuhan IPCMC telah lama dibangkitkan untuk menangani isu integriti polis berikutan aduan-aduan, termasuklah yang berkaitan kes kematian dalam tahanan.

Semasa pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pada 2006, penubuhan IPCMC ditolak oleh ketua polis negara ketika itu Mohd Bakri Omar yang berkata kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebagai badan disiplin, harus dikekalkan.

Sementara itu, ketika era Najib Razak pula, beliau berjanji untuk meningkatkan prestasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan bukannya menubuhkan IPCMC.

Di bawah janji ke 20 manifesto PH, gabungan itu berjanji akan melaksanakan penubuhan suruhanjaya berkenaan dalam penggal pertama pentadbirannya.

Selepas pertukaran kerajaan tahun lepas, ketua polis negara Mohamad Fuzi Harun ketika itu berkata pasukan keselamatan tersebut menerima cadangan penubuhan IPCMC dengan jaminan perlindungan terhadap hak anggota polis.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-