Thursday, June 20, 2019

Ulama doakan PH 'pendek umur' kini ketuai sayap parti

Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan Hari ini 4:15 petang


MUKTAMAR PAS | Timbalan Ketua Ulama PAS Dr Nik Zawawi Salleh diumum menjadi ketua baru sayap kanan PAS itu di Kuantan hari ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh.

Nik Zawawi mengisi tempat ketua Ulama PAS yang dikosongkan penyandang, Dr Mahfodz Mohamed yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Ketika ini beliau ialah anggota parlimen Pasir Puteh, Kelantan dan akan mengetuai sayap berkenaan sehingga 2021.

Seperti kebanyakan pemimpin ulama PAS, Nik Zawawi bukanlah tokoh yang sering muncul atau menjadi tajuk berita.

Bagaimanapun pada 8 Dis tahun lalu beliau diberi penghormatan membacakan doa pada majlis himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Diberikan ruang berkenaan, Nik Zawawi - ketika itu menggunakan kesempatan itu untuk memanjatkan doa agar kerajaan PH "pendek umur".

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata kerajaan PH hari ini tidak boleh diharap kerana tidak bertanggungjawab.

Malah katanya PH juga cuba untuk menggadaikan Islam.

“Kami menghadapi sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab di negara kami ini, ya Allah.

"Kerajaan yang cuba untuk menggadaikan agama-Mu ya Allah, kerajaan yang cuba memecah-belahkan perpaduan masyarakat Melayu ya Allah.

“[...] Jangan sekali-kali Kamu jadikan umur mereka ini panjang ya Allah. Pendekkanlah umur kerajaan PH ini ya Allah," katanya.

Untuk rekod semua jawatan dalam jawatankuasa pusat Ulama PAS tidak berlaku pertandingan apabila semua tokoh yang bertanding tidak dicabar, sama seperti beberapa penggal lalu.

Bagi jawatan timbalan ketua, bekas pensyarah Dr Johari Mat terpilih mengisi tempat berkenaan manakala Khirul Muntanazar Ismail menjadi naib ketua.

Untuk jawatankuasa pula mereka dibarisi
1. Zulkifli Ismail
2. Dr Azhar Yaakob
3. Md Nor Hamzah
4. Asri Mat Daud
5. Zulkarnain Hasan
6. Dr Badruzaman Yusof
7. Ismi Taib
8. Najhan Halim
9. Nushi Mahfodz
10.Nazri Chik
11.Ahmad Yahya
12.Mokhtar Senik

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-