Tuesday, July 23, 2019

Azmin vs Anwar: Tiada lagi penawar mampu merubatnya



MALAM semalam, sesiapa sahaja yang hadir ke kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pastinya dapat merasai sendiri kepanasan suhu politik PKR yang sedang menggelegak dek kerana isu video seks dan mereka juga dapat meneka siapakah dalang penyebaran aksi seks sejenis yang dimaksudkan Amirudin Shari dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berdasarkan ucapan keras Amirudin dan Azmin serta bahasa tubuh mereka, sosok dalang dimaksudkan itu sebenarnya sudah lengkap. Dalam bahasa mudah, orang buta pun sudah boleh meneka siapakah batang tubuh yang ‘ditembak’, cuma tinggal lagi nama sahaja yang belum disebut. Barangkali dalam sedikit masa lagi tiada lagi bahasa berkias.

Kepada Azmin dan penyokongnya, majlis doa selamat dan kesyukuran tersebut yang sebenarnya medan politik, banyak berkisar kepada persoalan dalang kerana pada padangan mereka, Timbalan Presiden PKR itu sudah ‘bebas’ daripada tuduhan jijik berkenaan setelah pihak berkuasa gagal mengesahkan identiti pelaku walaupun videonya tulen.

Soal rakyat percaya atau tidak itu hal berbeza tetapi naratif tersebut nampaknya digenggam kuat oleh Azmin dan penyokongnya. Sama sepertimana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng mahupun Datuk Seri Najib Tun Razak yang menampilkan naratif tersendiri apabila mereka berdepan dengan isu yang menjadi bualan rakyat.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian ialah reaksi penyokong Azmin malam semalam. Mereka bukan sahaja hadir dalam jumlah yang ramai hingga melimpah kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7, Shah Alam itu, tetapi kelihatan begitu ghairah serta bersemangat hingga bersahut-sahutan ketika Amirudin dan Azmin berucap.

Makanya keluarlah kata-kata seperti ‘tua lupa diri’, ‘tamak’, ‘tangkap dan penjara kembali’ serta ‘sumbat dia tiga tahun’. Kepada siapa gelaran dan kata-kata itu ditujukan? Untuk berlaku adil, dalam PKR ramai pemimpinnya yang sudah merasai pengalaman di penjara, tetapi rasanya para penyokong Azmin tahu siapa dimaksudkan.

Bertambah panas apabila Azmin menyebut satu persatu bekas orang kuat Anwar yang hadir memberi sokongan kepadanya malam semalam. Azmin memuji Dr. Mansor Othman (bekas Setiausaha Politik), Adlin Zabri dan Khalid Jaafar (bekas Setiausaha Akhbar) serta Datuk Kamarudin Bahrin Abbas yang muncul bersamanya selepas timbul isu video seks.

Itu belum lagi dikira watak-watak utama PKR yang selalu bersama Azmin seperti Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamarudin Jaafar, Mohd. Rashid Hasnon, R. Sivarasa, Tian Chua, Maria Chin Abdullah, Mohd. Khairuddin Othman, Dr. Afif Bahardin yang juga hadir dan duduk dekat dengan Azmin. Tidak cukup dengan itu Azmin sendiri malam semalam 13 kali menyebut tentang Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

Malah bila Azmin secara terbuka menyebut ‘ramai orang kuat Anwar hadir malam ini’ ia adalah satu signal, iaitu suhu politik PKR tidak mungkin akan kembali tenang.

Sekalipun, ketika bertemu media selepas itu Azmin main ‘tai chi’ memberitahu akan bekerjasama dengan Anwar dan janganlah melagakan dia dengan Presiden PKR itu, semua tahu itu cuma ayat politik.

Hakikatnya, di antara Azmin dan Anwar ketika ini, mereka seperti Muhammad Ali dan Joe Frazier. Persaingan antara kedua-duanya tidak memungkinkan keputusan seri, hanya salah seorang sahaja yang akan keluar sebagai pemenang, tetapi jika sekalipun salah seorang daripadanya menang, belum tentu dia dapat menjulang piala, silap-silap sekadar menang abu sahaja.

Barangkali ada baiknya juga untuk kedua-dua pemimpin PKR ini saling mencerminkan diri. Bukan tanya pada cermin siapa Perdana Menteri kelapan tetapi layakkah aku untuk memimpin ummah kerana jika berbalik kepada soal prinsip, seseorang yang hendak menjadi pemimpin, bukan sahaja perlu disahkan bersih tetapi mesti kelihatan bersih. 

UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-