Thursday, July 11, 2019

Mukhriz sedia galas tugas besar, tak semestinya sebagai PM

News | Diterbitkan Hari ini 6:12 petang


Mukhriz Mahathir bersedia untuk menggalas tugas yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan persekutuan namun tidak semestinya sebagai perdana menteri.

"Saya terbuka (untuk berkhidmat di peringkat persekutuan) dan ia sebenarnya bergantung kepada kepimpinan ketika itu sama ada saya yang terbaik," katanya dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review.

Anak kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu berkata dia tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Saya tidak terlalu bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi perdana menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan orang lain," katanya tanpa menyebutkan nama spesifik.

"Apabila khidmat saya diperlukan oleh negara untuk memimpin di peringkat persekutuan, saya sedia dan mampu menggalas tanggungjawab itu," tambahnya.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata dia tidak akan berkhidmat dengan tanggapan bahawa suatu hari nanti akan menjadi perdana menteri.

"Saya tidak akan cuba angkat diri sendiri seolah-olah saya sudah ditetapkan perlu menjadi perdana menteri suatu hari nanti," katanya.

Mukhriz, 54, juga berkata tiada garis masa tertentu yang dipersetujui bapanya, yang meraikan hari lahir ke 94 semalam, untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

"Mungkin ada cadangan seperti itu, tapi tiada yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan," katanya.

Menurut Mukhriz, persetujuan umum dalam PH adalah Dr Mahathir perlu diberikan masa untuk memulihkan masalah ekonomi negara sebelum menyerahkan kuasa.

"Dia (Dr Mahathir) perlu diberikan masa yang cukup untuk buat apa yang dia mahu. Walaupun kita tahu umurnya sudah lanjut, tapi dia tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan langkah," katanya.

Mukhriz juga menafikan dakwaan yang mengatakan wujudnya persaingan kuasa dalam PH serta spekulasi yang mengatakan Dr Mahathir lebih cenderung menjadikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti.

"Saya fikir, memandangkan majoriti percaya Anwar akan menggantikan perdana menteri, dia (Dr Mahathir) perlu diberikan masa untuk melakukan apa yang dia mahu lakukan," katanya.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-