Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Monday, July 15, 2019

'Pemimpin Melayu lain juga setuju cadangan Kit Siang'

B Nantha Kumar 
Diterbitkan Hari ini 9:11 malam 


Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui Penasihat DAP Lim Kit Siang mencadangkan kepadanya agar menubuhkan Bersatu bagi menggantikan Umno.

Bagaimanapun kata Mahathir ramai pemimpin Melayu lain turut hadir ketika mesyuarat diadakan bagi membincangkan perkara itu.

“Iyalah, Kit Siang adakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu dan pemimpin Melayu pun setuju dengan cadangan dia. Kalau awak (wartawan) nak percaya, percayalah.

“Jangan ingat orang Melayu tidak boleh berfikir, orang yang kata mengenai perkara ini boleh ke Tanjung Rambutan,” katanya selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Bersatu di Putrajaya hari ini.

Terdahulu bekas naib presiden Bersatu Hamidah Osman mempertahankan dakwaan bahawa Kit Siang mencadangkan kepada Dr Mahathir agar menubuhkan sebuah parti Melayu menyerupai Umno.

Ini selepas Kit Siang semalam membidas Najib Razak apabila mengatakan bekas perdana menteri itu adalah seorang penipu apabila mendakwa penubuhan Bersatu adalah hasil cadangannya.

Menurut Hamidah, beliau menghadiri mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana yang turut dihadiri beberapa pemimpin selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilihat gagal membuahkan hasil.

Deklarasi Rakyat merupakan pengisytiharan yang dilancarkan oleh Mahathir pada 4 Mac 2018, antara lain untuk mendesak Najib berundur daripada jawata perdana menteri.

“Saya hadir dan Kit Siang juga ada. Dalam perbincangan kami, di depan saya, Kit Siang sendiri mencadangkan kepada Dr Mahathir agar menubuhkan sebuah parti Melayu macam Umno bagi mendapatkan 10 peratus daripada undi Umno, yang mana jika itu berjaya dilakukan, Pakatan Harapan akan dapat menubuhkan sebuah kerajaan," katanya dalam sidang akhbar seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.

Malah kata Hamidah beliau sendiri memberikan maklumat kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak mengenai cadangan penasihat DAP itu.

“Jadi, kalau hendak tanya siapa yang memaklumkan pada Najib, saya dengan ini memberi pengakuan bahawa sayalah orang yang hadir ketika perkara itu dibincangkan antara Dr Mahathir dan Kit Siang,” katanya.

Bersatu merupakan parti diasaskan Mahathir bagi menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib yang didakwanya melakukan penyelewengan terutama membabitkan dana 1MDB.

Pada pilihan raya umum lalu, Bersatu bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan - DAP, PKR dan Amanah - buat pertama kalinya berjaya menumbangkan BN dan membentuk kerajaan.

'Pernah tuduh Dr M bapa korupsi'

Tambah Hamidah, beliau terpanggil untuk bertanggungjawab menerangkan situasi sebenar apabila Kit Siang tampil menafikan dakwaan tersebut.

Hamidah berkata beliau tidak terkejut dengan pengakuan Kit Siang yang didakwanya sebagai pembohong, termasuk mengatakan tidak pernah menggelar Mahathir sebagai seorang yang korup.

“Kit Siang memberi kenyataan bahawa dia tidak pernah menuduh Dr Mahathir sebagai seorang yang korup sedangkan kita tahu sebelum tertubuhnya Pakatan Harapan, Dr Mahathirlah dikatakan sebagai bapa korupsi.

“Kalau rakyat yang mengundi mereka, mereka boleh tipu dengan tidak menunaikan manifesto-manifestonya, dalam hal ini, jika dia menafikan apa yang saya kata, maka saya tidak terkejut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-