Tuesday, July 16, 2019

Zuraida: Ada orang panik polis makin hampir dedah dalang

News | Diterbitkan Hari ini 10:58 malam


Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata ada pihak tertentu yang panik apabila polis semakin hampir mendedahkan dalang di sebalik penyebaran klip video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

"Sementara siasatan polis semakin hampir mendedahkan dalang di sebalik plot (penyebaran klip video seks), nampaknya ada pihak tertentu yang panik," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Zuraida berkata demikian sebagai merujuk kenyataan "pemimpin kanan politik tertentu" yang menggesa agar ahli politik yang dikaitkan dengan klip video seks itu bercuti, selain menekankan kesahihan video.

Meskipun tidak menyebutkan nama pemimpin yang dimaksudkan, Zuraida dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang dikeluarkan beberapa jam sebelum itu.

Shamsul dalam kenyataan medianya menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

Shamsul juga mempersoalkan proses penyiasatan polis berhubung video seks itu yang menurutnya "beralih kepada penyebaran video lucah dan bukannya ketulenan video".

Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Azmin menyifatkan gesaan Shamsul itu sebagai tindakan "munafik".

Beri ruang polis siasat

Mengulas lanjut, Zuraida mempersoalkan ahli politik yang menurutnya setiap hari mengulas isu klip video seks berkenaan sedangkan polis sedang melakukan siasatan.

"Polis perlu diberikan ruang untuk melakukan tugas tanpa diberi tekanan politik daripada mana-mana pihak," katanya.

Baca berita berkaitan: Jangan munafik, kata Azmin pada Shamsul

Dalam kenyataan itu juga, Zuraida mengungkit bahawa klip video seks yang mengaitkan Presiden PKR Anwar Ibrahim pernah disebarkan, namun, katanya, pemimpin PKR bersatu mengecam ia sebagai konspirasi politik.

"Kini, orang yang mengambil pendirian itu dulu memberi ruang kepada politik longkang dengan bercakap tentang kesahihan video.

"Malah, ada yang menggesa agar pihak yang dikaitkan supaya melepaskan jawatan dalam kerajaan. Kami tidak membuat gesaan seperti itu apabila video seks yang mengaitkan Anwar sebelum ini disebarkan.

"Kami, termasuk Azmin, berdiri teguh bersama Anwar ketika itu. Atas semangat reformasi, kami menolak politik longkang. Kini apa sudah jadi dengan semangat politik bersih untuk membina negara?" katanya

Justeru, Zuraida menggesa semua pihak berhenti membuat kenyataan yang menurutnya hanya bagi kepentingan dan agenda sendiri serta membenarkan polis menjalankan siasatan secara profesional.

Azmin dikaitkan skandal seks sejenis dengan Haziq setelah beberapa rakaman video seks yang didakwa mirip wajahnya tersebar sejak sebulan lalu.

Haziq mengaku merupakan individu dalam video tersebut manakala Azmin menafikan dirinya terlibat dan mendakwa ia adalah komplot untuk memusnahkan karier politiknya.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, polis menahan tiga lagi individu di sekitar Johor Bahru, menjadikan sembilan kesemuanya yang ditahan berhubung kes penularan video seks berkenaan.

Semalam, Haziq dan lima yang lain direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-