Sunday, August 18, 2019

Rakyat sendiri akan tolak PH, tak perlu pembangkang balas dendam, kata Zahid

Minderjeet Kaur
-August 18, 2019 8:09 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata malam tadi bahawa rakyat sendiri akan menolak Pakatan Harapan (PH), tanpa perlu pembangkang menjatuhkannya.

Beliau berkata, Umno dan PAS tidak perlu mengambil apa-apa tindakan kerana rakyat akan menolak PH.

“Tunggu hingga rakyat menolak mereka (kerajaan PH).

“Kita (Umno dan PAS) tidak akan membalas dendam, tetapi kita akan tunggu. Kita tahu ia akan berlaku sendiri tanpa kita memaksakannya,” kata beliau ketika berucap pada satu majlis ceramah di Balik Pulau, Pulau Pinang.


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang berdepan 87 pertuduhan di mahkamah memberitahu penyokong Umno dan PAS bahawa bukan orang Melayu sahaja yang menolak pentadbiran sekarang, malah orang Cina, India dan Kadazan turut kecewa dengan PH.

“Mereka menolak PH,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, ahli Umno dan PAS harus berperanan menguatkan bangsa, agama dan negara.

Merujuk contoh penyembelihan korban semasa Hari Raya Haji, Zahid berkata, satu orang tidak cukup kuat untuk menyembelih haiwan korban tersebut.

“Beberapa orang diperlukan untuk memegang kaki belakang dan depan, kepala dan badan,” katanya.

“Dalam perjuangan ini adalah satu perjuangan pengorbanan. Jangan biarkan hanya presiden Umno dan PAS sahaja untuk melakarkan penyatuan ummah. Kita ada peranan masing-masing demi ummah dan negara seluruhnya,” kata beliau.

Zahid sebelum itu berkata, bagi menjamin perpaduan orang Melayu dan Islam di bawah kerjasama baru antara Umno dan PAS, mereka tidak akan bekerja dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan DAP.

Beliau berkata, DAP melaksanakan agendanya melalui agenda Malaysian Malaysia.

Konsep “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh DAP menolak keunggulan bangsa, yang menurut Umno menghakis hak dan keistimewaan orang Melayu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Umno dan PAS mempunyai persefahaman politik longgar sebelum pilihan raya umum lepas, namun menjadikannya satu kerjasama rasmi dalam beberapa bulan lepas bagi menyatukan orang Melayu dan Islam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-