Wednesday, September 18, 2019

'Ada had untuk biadab'

Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
 NSTP/Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, perlu dirujuk ke Lembaga Disiplin kerana didakwa melanggar perlembagaan parti apabila sengaja tidak menghadiri mesyuarat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani, berkata tindakan disiplin perlu diambil terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu serta beberapa pemimpin lain.

Beliau berkata, Lembaga Disiplin perlu tegas menangani isu berkenaan kerana tindakan kelompok terbabit menjejaskan imej parti.

Katanya, pertelagahan antara kepemimpinan parti hanya boleh diselesaikan di meja rundingan manakala mesyuarat parti adalah platform terbaik untuk menyelesaikan isu dan krisis dihadapi ketika ini.

“Ikut perlembagaan parti, kita tidak boleh berkompromi kerana siapa tak jaga perlembagaan, boleh dihukum.

“Jika ada panggilan mesyuarat, datanglah mesyuarat dan hadapi apa saja isu yang menjadi pertikaian. Jangan terlampau biadab, walau ada jawatan sekalipun, jangan perlekeh orang lain.

“Ada hadnya untuk biadab, jangan terlebih sangat kerana parti ada perlembagaan yang mengawal selia ahlinya, tiada seorang pun yang kebal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan pertemuan khas kerana Zuraida boleh bertemu jika menghadiri mesyuarat biro politik setiap Rabu dan mesyuarat MPP setiap bulan.

Zuraida sebelum ini tetap dengan hasrat mengadakan pertemuan dengan Anwar bersama pemimpin yang dipilih.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kapar, turut mendakwa percakaran itu berlaku kerana wujudnya kepentingan dan agenda sendiri.

Beliau turut meminta Zuraida tidak menggunakan media bagi menegakkan pandangannya dalam isu berkenaan.

“Demokrasi pun ada batasnya, bila anggap diri kebal, kita berlagak dari segi undang-undang. Nasihat saya, jangan sombong sangat.

“Saya yakin tidak berlaku perpecahan dalaman parti seperti didakwa kerana individu seperti itu hanya mewakili kelompok kecil dalam parti.

“Ahli parti pun sudah mengetahui perangai pemimpin tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-