Sunday, September 22, 2019

Ahli akademik dakwa fatwa Syiah ‘sesat’ untuk kepentingan agamawan

Nur Hasliza Mohd Salleh
-September 22, 2019 10:39 AM

Ahli akademik Malaysia yang berpangkalan di Singapura, Syed Farid Al-Attas

PETALING JAYA: Fatwa mengatakan ajaran Syiah menyimpang daripada Islam disifatkan sebagai alat politik demi menjaga kepentingan segelintir pihak, dakwa Syed Farid Al-Attas.

Ahli akademik Malaysia yang berpangkalan di Singapura itu berkata, fatwa itu dilihat mengikat pemikiran masyarakat Melayu Islam terhadap amalan mazhab tersebut sehingga timbul prasangka dan rasa tidak senang hati terhadap Syiah.

Syed Farid berkata konflik antara Syiah dan Sunnah menunjukkan kebencian yang semakin meningkat yang berasaskan kepada beberapa ciri.

“Kadang-kadang di antara ulama-ulama kita dan guru-guru agama kita, ada di antara mereka yang tidak memahami Syiah.

“Jadi mereka salah paham, contohnya, ada yang mengatakan Syiah itu punyai Quran (kitab) sendiri dan mereka benar-benar percaya sebab itu yang disebarkan oleh banyak orang.

“Jadi mereka sendiri tak tahu, mereka sendiri tidak baca buku Syiah, tidak pernah baca kitab yang berasal dari negeri Syiah, jadi mereka percaya Syiah ada Quran sendiri,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, terdapat segelintir agamawan yang mengetahui tentang Syiah, tetapi mempunyai niat jahat dengan memperalatkan Syiah dalam permainan politik mereka.

“Demi perjuangkan hak Melayu, dia ingat dia mesti memperjuangkan Islam.

“Dalam konteks mereka, perjuangkan Islam itu adalah perjuangkan Sunnah. Jadi, nak perjuangkan Sunnah kena bantah Syiah.”

Katanya, situasi itu berbeza pada era 80-an apabila fatwa kebangsaan mengatakan Syiah sebagai sebahagian daripada ajaran Islam.

“Tapi mula tahun 90-an, telah keluar fatwa yang menolak pendirian itu. Jadi, kita kena didik semula masyarakat mengenai masalah ini,” katanya.

Syiah, fahaman Islam kedua terbesar yang mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Tetapi pihak berkuasa Islam negeri mengisytiharkan ajarannya sebagai “menyimpang”, dengan khutbah di Selangor sering mengutuk pengikutnya sebagai sesat.

Baru-baru ini, serbuan dibuat ke atas pengikut Syiah di Johor dan Selangor yang dikritik pelbagai pihak termasuk Suhakam yang menyifatkan tindakan itu sebagai melanggar hak perlembagaan terhadap pengikut Syiah untuk bebas mengamalkan agama.

Ditanya apakah strategi terbaik untuk mendidik masyarakat Islam di Malaysia supaya tidak menyalah tafsir Syiah, Syed Farid mengesyorkan ulama Sunnah dari negara luar dibawa masuk ke Malaysia.

Katanya, ia bertujuan untuk memberi penjelasan kepada mufti dan ulama Sunnah di Malaysia tentang sikap yang sewajarnya diberikan kepada pengikut Syiah.

Syed Farid menambah, Malaysia pernah dianggap sebagai model negara yang berakar umbi dalam tradisi Islam yang kemudiannya berkembang dan membangun dalam ekonomi, politik dan sosial walaupun mempunyai masyarakat majmuk.

Atas sebab itu, katanya, Malaysia dipandang tinggi dan menjadi teladan kepada negara Islam yang lain.

Bagaimanapun, katanya, situasi itu ternyata berbeza dengan situasi hari ini apabila negara dilihat semakin menjurus kepada negara yang ektremis agama berbanding negara Islam yang lain.

“Mana ada negara Islam yang Sunnah tak boleh kahwin dengan Syiah?

“Kalau ada sepasang Sunnah dan Syiah dan jabatan agama tahu, mereka tak dibenarkan kahwin, tidak sah. Itu terlalu ekstremis dan bahaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-