Friday, September 20, 2019

Belum masanya sertai kerajaan Perlis, kata PAS

News | Diterbitkan 19 Sep 2019, 11:33 malam


Di sebalik semangat berkobar-kobar dan rasa teruja penyokong pembangkang ekoran termeterainya piagam Muafakat Nasional, PAS Perlis berkata, belum ada keperluan untuk mereka menyertai kerajaan negeri buat masa ini.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata ketika ini kerajaan negeri yang diketuai Umno dianggap dalam keadaan baik.

Justeru, katanya, tiada keperluan buat parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Perlis.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata lebih baik jika keadaan yang ada sekarang diteruskan seperti biasa.

“Kecuali ada keputusan baru di peringkat pimpinan tertinggi kedua-dua parti, maka kita akan akur," katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

PAS dan Umno melupakan sengketa berdekad-dekad mereka selepas menandatangani piagam bersama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 14 Sept lalu.

Piagam itu menjadi detik termeterainya kerjasama politik kedua-dua parti bagi menghadapi kerajaan PH. Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang masing-masing menurunkan tandatangan bagi pihak Umno dan PAS.

Kerjasama erat itu juga membuka ruang untuk kedua-dua parti membentuk kerajaan di negeri yang gagal ditawan PH, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Perlis.

Untuk rekod, Kelantan dan Terengganu ditadbir oleh PAS, manakala selebihnya Umno/BN.

Baca Tragedi Memali jadi 'kecil' dengan penyatuan ummah PAS-Umno

DUN Perlis mempunyai 15 kerusi dengan sembilan dikuasai BN (lapan Umno dan satu MCA), PAS dua, Bersatu satu dan PKR tiga.

Pada 15 Sept lalu Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Perlis, Azlan Man, sebagai berkata pihaknya terbuka untuk menerima PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran di negeri tersebut.

Namun katanya, keputusan secara dasar oleh kedua-dua parti di peringkat tertinggi perlu dibuat bagi tujuan tersebut.

"Sebelum ini lagi saya sudah sebut mengenai perkara ini, di Perlis saya kata kita tak ada masalah untuk menjemput PAS menganggotai kerajaan negeri.

"Bagaimanapun buat masa ini kerjasama dengan PAS ini berbentuk taawun (siyasi), jadi kita perlukan satu keputusan di peringkat tertinggi parti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-